Angkat Isu Keganasan Rumah Tangga, Hazreen Amreena Muncul Dengan Single ‘Yang Ku Punya’

Angkat Isu Keganasan Rumah Tangga, Hazreen Amreena Muncul Dengan Single ‘Yang Ku Punya’

Penyanyi baharu di bawah naungan Shiha Zikir Empire (SZE), Hazreen Amreena muncul dengan single baharu berjudul Yang Ku Punya.

Menurut Hazren, 28, lagu berkenaan mengisahkan tentang seorang wanita yang sangat menyayangi dan taat kepada suami.

Namun apa yang berlaku, rasa sayang dan setianya itu telah dipersiakan oleh suaminya hingga sanggup berlaku curang dan melakukan keganasan rumah tangga.

“Itulah penceritaan dalam lagu ini, video muziknya jelas memaparkan kejadian yang berlaku. Tidak dinafikan, perkara sebegini adalah realiti dalam kehidupan kita.

“Mesej yang saya mahu tekankan kepada kaum wanita yang mengalami situasi begini, bangkitlah dan selamatkan diri sendiri. Jangan terus menerus berada dalam hubungan yang toksik. Bertindak dan jangan takut untuk menjadi wanita yang independen,” katanya.

Lagu Yang Ku Punya ditulis sepenuhnya oleh Shiha Zikir dan digubah juga oleh Shiha bersama Zimi Sofazr.

Bukan sahaja bertindak selaku penulis dan pencipta, video muzik lagu berkenaan juga mendapat sentuhan Shiha selaku pengarah.

“Selain mengarah, idea asal untuk jalan cerita dalam video muzik ini juga daripada saya. Saya sudah mula berjinak-jinak dengan kerja belakang tabir seperti menjadi komposer dan produser lagu.

“Bukan apa, manalah tahu suatu hari nanti kalau saya sudah tidak menyanyi, bolehlah saya fokus pada kerja-kerja sebegitu pula,” kata Shiha.

Difahamkan, proses rakaman vokal untuk lagu ini memakan masa sehari di studio diikuti sehari lagi untuk pembikinan video muzik.

Ditanya tentang pengalaman bekerja di bawah naungan SZE, Hazreen menyifatkan Shiha sebagai seorang yang tidak kedekut ilmu dan sentiasa mahukan yang terbaik untuk artis-artis naungannya.

“Kak Shiha banyak membantu dengan memberikan bimbingan tentang cara nyanyian dan cara menyuntikkan emosi termasuklah ketika berlakon dalam video muzik.

“Sepanjang terlibat di bawah naungan SZE, memang banyak momen indah dan ilmu yang bermanfaat dikongsi oleh Kak Shiha kepada saya serta artis-artis baharu yang lain,” katanya lagi.

Kepada yang baru mengenali Hazreen, dia sebelum ini menjuarai pertandingan SZ Talent Discover anjuran SZE dan aktif bergiat dalam bidang muzik termasuk menyertai I Can See Your Voice (2023), diikuti Gimme The Mic Malaysia 2024.

Hazreen sememangnya meminati nyanyian dan muzik sejak di bangku sekolah hingga menggengam ijazah dalam jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Menyedari tentang lumrah persaingan dalam industri hiburan, Hazreen bagaimanapun melihat perkara itu secara positif.

“Tak dinafikan memang ada rasa gugup kadang-kadang apabila memikirkan tentang persaingan. Tetapi itulah cabaran yang perlu saya lalui, apa yang boleh dilakukan adalah tempuh saja dan sentiasa usaha untuk memperbaiki diri.

“Saya sudah memilih untuk masuk ke bidang ini, lagipun saya sudah meminati bidang nyanyian sejak kecil lagi, rugilah kalau saya sia-siakan peluang yang ada.

“Apapun, saya sentiasa percaya kepada rezeki kurniaan Allah SWT, ia tak pernah salah alamat. Apa yang penting, saya perlu melakukan yang terbaik,” jelasnya.

Hazreen juga sempat berkongsi harapannya mengenai lagu terbaharu dendangannya itu.

“Saya harap lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar di luar sana. Saya juga harap dengan adanya lagu ini, lebih ramai lagi orang akan mengenali diri saya.

“Saya ingin berkongsi bakat kepada semua, semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dalam kerjaya saya selepas ini,” katanya menutup bicara.

Scroll to Top