ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mewakili Malaysia ke majlis pelancaran sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 peringkat rantau Asia Pasifik dan Jepun di United Nations University, Tokyo pada Rabu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, majlis anjuran International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) dengan kerjasama jawatankuasa IYC 2025 Jepun dan International Labour Organization (ILO) negara tersebut berjaya menghimpunkan 250 pemimpin koperasi, wakil kerajaan serta pertubuhan antarabangsa secara fizikal manakala 450 peserta dalam talian.

Abdul Fattah
Menurut Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) itu, pihaknya turut diberi pengiktirafan menyampaikan pembentangan mewakili Malaysia mengenai perancangan dan aktiviti gerakan koperasi negara bagi menyemarakkan IYC 2025.
Jelas beliau, pelbagai inisiatif nasional dirangka dan dibentangkan antaranya penubuhan Jawatankuasa Pemandu IYC 2025 dipengerusikan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Institut Koperasi Malaysia (IKMa) termasuk inisiatif Angkasa yang bakal memanfaatkan Kepengerusian ASEAN tahun ini.
“Sokongan kerajaan terhadap Angkasa selaku badan puncak gerakan koperasi dengan memperuntukkan RM1 juta buat program koperasi ASEAN akan digerakkan menerusi penganjuran ASEAN Cooperative Dialogue (ACD) pada Mei depan.
“Dalam masa sama, saya menggesa gerakan memperkukuh perdagangan antara koperasi dengan koperasi (C-2-C) menerusi inisiatif yang menyediakan ekosistem kondusif bagi aktiviti perdagangan dan pelaburan.
“Justeru, Malaysia menerusi Angkasa mengalu-alukan sebarang kerjasama dan perkongsian dengan koperasi rantau Asia Pasifik bagi memastikan IYC 2025 benar-benar memberi impak signifikan kepada pertumbuhan dan kemajuan koperasi global,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Angkasa mewakili Malaysia ke majlis pelancaran sambutan IYC 2025 peringkat rantau Asia Pasifik dan Jepun di United Nations University, Tokyo, Jepun pada Rabu.
IYC 2025 dengan tema ‘Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat’ diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengiktiraf peranan koperasi dalam pembangunan sosial dan ekonomi.
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran global mengenai peranan koperasi dalam menyumbang kepada pembangunan mampan, pengurangan kemiskinan, galakan kesaksamaan sosial dan komuniti.
Abdul Fattah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Jepun bermula 18 hingga 22 Februari ini bersama anggota Angkasa merangkap Ahli Lembaga ICA, Datuk Kamarudin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdullah Jusoh.
Delegasi Malaysia dijadual mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Japan Co-operative Alliance (JCA) serta Japan Workers’ Cooperative Union (JWCU), malah Islamic Center Japan (ICJ) tentang potensi penubuhan koperasi kariah masjid oleh masyarakat Islam di negara terbabit.
Sementara itu, Presiden ICA-AP, Dr S Y Chandrapal menegaskan kepentingan kerjasama erat antara koperasi, kerajaan dan kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan IYC 2025.

Abdul Fattah yang juga Naib Presiden ICA-AP turut diberi pengiktirafan menyampaikan pembentangan mewakili Malaysia mengenai perancangan dan aktiviti gerakan koperasi negara bagi menyemarakkan IYC 2025.
Justeru, kata beliau, semua negara anggota diseru untuk membentuk mekanisme koordinasi nasional yang melibatkan kerajaan dalam memperkukuh dasar sokongan terhadap koperasi, termasuk aspek pembiayaan, inovasi dan perundangan.
“Melalui advokasi dan kesedaran global berterusan, IYC 2025 dapat menjadi titik perubahan dalam mengangkat gerakan koperasi sebagai model ekonomi yang lestari dan inklusif di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Sehingga Jun tahun lalu, terdapat 16,009 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.2 juta individu, syer atau yuran sebanyak RM18 bilion, aset RM171.4 bilion dan perolehan RM33.06 bilion manakala perolehan gerakan koperasi pada 2023 adalah RM64.6 bilion.