Angka korban Turkiye-Syria melepasi 50,000

Angka korban Turkiye-Syria melepasi 50,000

ANTAKYA: Jumlah mangsa yang terbunuh akibat gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria awal bulan ini sudah melepasi 50,000 orang.

Lapor Al Jazeera, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memberitahu, di Turkiye sahaja seramai 44,218 orang maut akibat bencana itu manakala di Syria ialah 5,914 orang.

Gempa bumi pertama pada 6 Februari yang melanda tenggara Turkiye dan utara Syria berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud.

Menurut AFAD, wilayah itu dilaporkan digegarkan oleh lebih 9,000 gegaran sejak awal Februari lalu.

Hampir 240,000 pekerja penyelamat termasuk sukarelawan  bertugas di 11 wilayah yang dilanda gempa bumi di Turkiye.

Beberapa kawasan yang terjejas oleh gempa bumi pada mulanya sukar untuk diakses, tetapi usaha pemulihan diteruskan dengan pantas dan jumlah mangsa semakin meningkat.

Tiada laporan mengenai mangsa yang terselamat sejak kebelakangan ini.

Hampir 530,000 orang dilaporkan dipindahkan dari kawasan bencana di Turkiye sahaja dan kerajaan Turkiye berkata bahawa 173,000 bangunan setakat ini direkodkan runtuh atau rosak teruk dengan lebih 1.9 juta orang berlindung di tempat perlindungan sementara atau hotel dan kemudahan awam.

 

Scroll to Top