Angka korban kebakaran hutan di Korea Selatan meningkat kepada 24

Angka korban kebakaran hutan di Korea Selatan meningkat kepada 24

Seoul: Pasukan bomba bertungkus lumus pada Rabu untuk mengawal siri kebakaran hutan yang melanda wilayah tenggara Korea Selatan, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang, namun keadaan angin kencang dan cuaca kering terus menyukarkan usaha pemadaman, lapor Agensi Berita Yonhap.

Puluhan helikopter pemadam kebakaran, kira-kira 5,000 anggota, serta sekitar 560 unit peralatan sudah dikerahkan, tetapi kebakaran yang bermula di Daerah Sancheong, Wilayah Gyeongsang Selatan pada Jumaat lepas sudah merebak ke timur laut wilayah itu.

Dalam tempoh lima hari, kebakaran merebak ke Uiseong dan kini sedang menuju ke Andong, Cheongsong, Yeongyang, serta Yeongdeok.

Daripada 24 mangsa yang terkorban, 20 ditemukan di Uiseong dan empat lagi di Sancheong setakat 4 petang, menurut data dari Ibu Pejabat Langkah Pencegahan dan Keselamatan Bencana Pusat.

Risiko kebakaran merebak ke kawasan pantai timur semakin meningkat akibat angin kencang, menimbulkan kebimbangan bahawa kebakaran boleh sampai ke Daerah Uljin, lokasi sebuah loji kuasa nuklear utama.

Seorang pegawai perhutanan memberi amaran mengenai faktor tidak menentu seperti perubahan mendadak arah angin, dengan menyatakan bahawa meskipun kebakaran di Uiseong pada awalnya merebak ke arah timur, angin dari selatan dan barat daya dikesan pada Selasa dan Rabu.

Di Yeongyang, empat daripada lima mangsa ditemukan rentung di atas jalan raya kira-kira 11 malam Selasa.

Pada Rabu, Pemangku Presiden Han Duck-soo menggesa usaha secara habis-habisan bagi menghalang kebakaran hutan itu daripada terus merebak, menyifatkannya sebagai “kebakaran hutan terburuk pernah berlaku.”

Setakat ini, kebakaran memusnahkan 17,000 hektar hutan serta 209 rumah dan kilang, katanya.

Kebakaran turut memusnahkan Kuil Goun di Uiseong, sebuah kuil purba yang dibina pada tahun 681 semasa Dinasti Silla (57 SM–935 M). Bagaimanapun, khazanah negara yang disimpan di kuil itu dipindahkan ke lokasi lain.

Terdahulu pada Rabu, sebuah helikopter pemadam kebakaran yang dikendalikan seorang juruterbang terhempas di Uiseong ketika bertugas memadam kebakaran besar di kawasan itu, mengorbankan juruterbang berkenaan.

Wilayah Gyeongsang Utara dan Gyeongsang Selatan adalah lokasi bagi banyak aset sejarah dan budaya, termasuk khazanah negara.

Dengan kebakaran semakin menghampiri, kebimbangan kembali meningkat di sekitar Kampung Rakyat Hahoe di Andong.

Pihak berkuasa berkata, api mara sehingga hanya lima kilometer dari Kampung Hahoe dan merancang untuk mengerahkan dua helikopter pemadam kebakaran sebagai langkah pencegahan awal.

Terletak kira-kira 190 kilometer ke tenggara Seoul, Hahoe adalah satu daripada kampung rakyat paling terkenal di Korea Selatan dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2010. Kampung itu mengekalkan rumah-rumah serta tradisi dari zaman Dinasti Joseon (1392–1910).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top