Angka korban Gaza meningkat 48,181, lebih 111,630 cedera

Angka korban Gaza meningkat 48,181, lebih 111,630 cedera

Gaza: Sumber perubatan di Semenanjung Gaza melaporkan pada Sabtu bahawa angka korban telah meningkat kepada 48,181 orang, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, sejak permulaan serangan tentera Israel pada 7 Oktober 2023.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), jumlah keseluruhan mangsa turut meningkat kepada 111,163, dengan ramai lagi yang mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan segera.

Dalam tempoh 48 jam lepas sahaja, 26 lagi rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, termasuk 22 mayat yang ditemukan daripada runtuhan dalam usaha mencari mangsa yang masih berterusan.

Keadaan kekal kritikal dengan ratusan individu masih hilang, dipercayai terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Gaza. Pasukan ambulans dan pertahanan awam menghadapi kesukaran besar untuk sampai ke kawasan terjejas berikutan kemusnahan meluas serta serangan udara yang masih berlanjutan.

Krisis kemanusiaan di Gaza semakin memburuk dari jam ke jam, dengan wilayah itu berdepan kekurangan bekalan perubatan, makanan dan air yang kritikal, sementara angka korban terus meningkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top