anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Angka 73 disifatkan istimewa tahun ini buat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bakal menyambut hari ulang tahunnya pada 24 Mac hadapan.
Sempena ulang tahun ke-73, APM merancang pelbagai program dan pengisian menarik dengan menjadikan angka itu sebagai tarikan dan simbolik sambutan.
APM dalam kenyataan tadi memaklumkan, Sambutan Bulan Pertahanan Awam bagi tahun ini secara rasminya akan bermula pada 10 Mac hingga 10 April 2025 membabitkan pelbagai pengisian dirancang untuk menyemarakkan sambutan Hari Ulang Tahun APM.
Menurutnya, pengisian berkenaan bertujuan memperkasakan kesedaran, kecintaan dan budaya terhadap pertahanan awam selain memberi peluang kepada pegawai serta anggota untuk menonjolkan kreativiti dalam pelaksanaan aktiviti bersama masyarakat.
“APM menyasarkan 73 program `Wow Factor’ di peringkat negeri dan pusat latihan, termasuk pelaksanaan operasi kemanusiaan dan kesiapsiagaan bencana seperti Op Ramah dan Op Prihatin.
“Turut disasarkan adalah 73 aktiviti merangkumi enam tonggak utama Malaysia MADANI, termasuk Wacana Nasional: Halatuju Sukarelawan di Malaysia pada 10 dan 11 Mac bertempat di Institut Semarak Felda (ISEF), Bangi,” menurut kenyataan itu.
APM turut akan memberikan penghargaan melalui 73 jenis anugerah kepada pegawai, anggota pertahanan awam dan masyarakat yang berjasa, termasuk di peringkat daerah dan unit pertahanan awam.
“APM juga akan menyantuni sekurang-kurangnya 73 alumni APM daripada pelbagai latar belakang sebagai penghargaan atas sumbangan mereka, termasuk pihak dan individu yang membantu dalam MTL 2024/2025.
“APM akan melaksanakan 73 penugasan ‘Omnipresence’ di kawasan Hot Spot sepanjang tempoh bulan Ramadan, merangkumi bazar, lokasi berbuka puasa, pusat membeli-belah serta masjid dan surau.
“Kami turut akan memasak 73 kawah bubur lambuk secara serentak di seluruh negara sebagai simbol perpaduan,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan sejarah, APM ditubuhkan pada 1952 dan kini memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana negara dengan pembabitan 2.25 juta anggota sukarela di seluruh negara sejak penubuhannya.
Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) disambut setiap 24 Mac sebagai acara tahunan utama warga APM.
Tema HUTPA pada tahun ini ialah ‘Sukarelawan dan Pertahanan Awam: Teras Kesejahteraan Nasional’, mencerminkan peranan APM dalam memperkukuh semangat kesukarelaan dan keselamatan rakyat sebagai teras pembangunan negara selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
© New Straits Times Press (M) Bhd