KABUL: Kematian akibat serangan bom di luar sekolah di ibu negara Afghanistan meningkat 68 orang kata pihak berkuasa pada Ahad, dengan doktor bergelut merawat 165 mangsa manakala keluarga yang terdesak mencari anak mereka yang masih hilang.
Letupan pada lewat Sabtu itu menggemparkan kejiranan Dasht-e-Barchi yang dihuni masyarakat Syiah dari kumpulan etnik Hazara, yang sebelum ini sering disasarkan kumpulan militan IS.
Bom kereta diletupkan di depan sekolah Sayed Al-Shuhada manakala dua lagi meletup ketika pelajar yang panik berlari keluar.
Menurut pegawai, kebanyakan yang mati adalah pelajar perempuan.
“Letupan pertama begitu kuat dan hampir dengan kanak-kanak itu sehingga mereka masih tidak dapat ditemui,” kata seorang pegawai yang enggan dikenali.
Saksi memberitahu Reuters hampir semua mangsa kecuali kira-kira lapan orang, adalah pelajar perempuan yang mahu pulang selepas tamat sekolah semalam.
Presiden Ashraf Ghani pada Sabtu menuding jari ke arah Taliban bagi kejadian itu, namun jurucakap kumpulan pemberontak itu menafikan pembabitan mereka malah menyelar serangan terhadap orang awam.
“Sepanjang malam kami mengangkat mayat kanak-kanak perempuan dan lelaki ke tanah perkuburan selain berdoa untuk mereka yang cedera dalam kejadian itu,” kata Mohammed Reza Ali yang membantu keluarga mangsa.
Kawalan diperketatkan di seluruh Kabul susulan kejadian itu namun pihak berkuasa berkata tidak mungkin dapat memastikan mengawal keselamatan di semua sekolah, masjid dan tempat awam.