hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan enam anggotanya cedera dalam insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (Malbatt 850-12) dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 7.54 malam waktu Malaysia.
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan berkata, letupan berkenaan menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.
“Akibat kejadian itu, seramai enam anggota Malbatt 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota melibatkan Malbatt 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm).
“Serang lagi melibatkan anggota Malbatt 850-11 yang juga mengalami cedera ringan.
“Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11,” katanya.
Menurutnya, ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.
“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd