MELAKA: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terselamat daripada menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membenarkan penangguhan hukuman penjara setahun dan denda berjumlah RM80,000.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Fadzlie Izwan Che Johari, 38, atas kesalahan memberi suapan sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori lebih muatan, enam tahun lalu.
Katanya, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan dan tidak dapat mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Berdasarkan lapan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan rasuah berjumlah RM4,250 kepada anggota JPJ lain sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan lori melebihi muatan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di tiga lokasi berbeza di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah antara 1 Januari 2019 dan 31 Disember 2020.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (b) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman satu tahun penjara dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan.
Elesabet turut memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh jatuh hukum.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Asyraf Mohamad Tahir manakala tertuduh diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.
Sementara itu, Sheikh Ikhzan merayu penangguhan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan tetapi dibantah Mohamad Asyraf dan mencadangkan jaminan dinaikkan kepada RM25,000 berbanding RM15,000 sebelum ini, sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.
Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman dengan syarat pembelaan memfailkan notis rayuan hari ini dan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM25,000. – UTUSAN