hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan terus mengorak langkah lebih efisen dalam memberi peluang kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjana peluang kerjaya kedua dan kebolehpasaran kerja selepas bersara dengan golongan berkenaan akan mendapat perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melalui insiatif Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program berkenaan membabitkan peruntukan RM3 juta dan ia dilakukan secara kerjasama startegik dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Menurutnya, inisiatif WBL bertujuan untuk meningkatkan taraf akademik anggota ATM sebelum mereka menamatkan perkhidmatan, dengan jangkaan sasaran seramai 1,000 orang anggota ATM dari pelbagai tred kepakaran akan menerima manfaat pada tahun depan.
“WBL mampu menjana peluang kerjaya kedua dan kebolehpasaran dalam lingkungan kerja bagi anggota ATM selepas bersara. Selain itu, ia akan memberikan pengiktirafan kepakaran dan pengalaman kerjaya dimiliki anggota kepada akreditasi akademik yang setaraf.
Katanya, penganugerahan diploma akan diberikan kepada anggota selepas menjalani prosedur penilaian oleh pihak MQA daripada aspek pekerjaan, kemahiran dan jangka masa kerja serta sebagainya.
“Ketika ini dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), kita ada dalam beberapa bidang yang boleh ditawarkan diploma.
“Kita juga sudah menerima cadangan daripada DRB-HICOM University of Automotive Malaysia yang juga menawarkan empat program yang selari dengan pekerjaan yang ada dalam ATM,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan KPT, di sini, hari ini Kerjasama strategik itu membabitkan tiga bidang iaitu WBL, inisiatif Program Komuniti Tertumpu dan Inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP) yang akan memberi manfaat kepada warga ATM.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman, Naib Canselor UiTM Datuk Prof Ts Dr Shahrin Sahib, Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.
Setakat ini, program berkenaan menawarkan 10 program antaranya Diploma Seni Kulinari, Diploma Sains Geomatik, Diploma Pengurusan Logustik dan Diploma Teknologi Maklumat membabitkan UiTM, UPNM dan UTHM untuk ketiga-ketiga cabang dalam perkhidmatan ATM.
Khaled berkata, justeru, ia akan dapat membantu memberi jaminan masa depan kepada anggota tentera dan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan anggota yang berkhidmat sekali gus program itu juga akan menarik minat lebih ramai untuk menyertai ATM.
Katanya, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti kira-kira 236 anggota yang akan terbabit dalam program itu dengan kos program ditanggung oleh Kementerian Pertahanan serta syarat utamanya adalah anggota sekurang-kurangnya sudah berkhidmat selama 15 tahun.
“(Kebanyakan anggota tentera) masuk dahulu melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kita iktiraf kemahiran mereka dapat daripada bekerja. Jadi apabila dia sudah bersara, dia ada diploma dan nilai pasaran kerja akan meningkat,” katanya.
Sementara itu, Zambry berkata, program berkenaan adalah satu insiatif kreatif dan pihaknya akan membuat penilaian berdasarkan kepada skop yang ditentukan dan ia akan dikawal selia oleh MQA yang mana ia membuka ruang lebih luas untuk pendidikan warga ATM.
© New Straits Times Press (M) Bhd