Anggota APM Kuala Muda maut, dalam perjalanan pulang bertugas

Anggota APM Kuala Muda maut, dalam perjalanan pulang bertugas

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Kuala Ketil menghala ke Bukit Selambau, di sini hari ini.

Difahamkan, ini adalah kejadian kedua membabitkan anggota APM meninggal dunia dalam kemalangan di negeri ini dalam tempoh dua hari.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Amirul Asyraf Muhamad Mayidin mengesahkan perkara itu dan anggotanya, Lans Koperal (PA) Muhammad Faiz Rozaini, 31, dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu kereta Perodua Kancil yang dipandunya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

“Petugas Klinik Kesihatan Kuala Ketil yang berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 3.30 petang.

“Laporan lanjut akan menyusul berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jenazah Allahyarham dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.

Kelmarin, media melaporkan, seorang anggota APM Bandar Baharu, Muhammad Aqasha Nasir, 20, meninggal dunia dalam kemalangan di simpang tiga Taman Semarak, Kulim selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu seorang wanita warga emas di lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top