Andra watak unik

Andra watak unik

mohamadridzuan@hmetro.com.my

IMPIAN pelakon muda, Mierul Aiman, 26, bagi membawakan watak utama untuk drama di bawah jenama Media Prima Berhad (MPB) akhirnya menjadi kenyataan.

Mierul atau nama sebenarnya, Mohammad Amirul Aiman Norazman akan tampil dengan drama 10 episod berjudul Anak-Anak Mafia terbitan Zeel Production yang ditayangkan menerusi aplikasi Tonton TV3.

Mierul akan melakonkan watak Andra, pemuda dari Pakistan yang nekad ke Kuala Lumpur untuk membalas dendam terhadap kematian ibu bapanya 24 tahun lalu.

Turut membintangi drama ini ialah Scha Elinnea, Fitri Farok, Fariz Isqandar dan Zhen Ning.

“Ini pengalaman pertama saya sebagai watak utama untuk drama di MPB. Dah tentu ada keikhlasan dan keterujaan apabila saya membawakan watak Andra.

“Dah beberapa kali saya dilamar Zeel Production khususnya MPB. Pengurusan saya pula sentiasa terbuka untuk saya berlakon dengan mereka.

“Kami berpegang pada misi untuk jayakan naskhah yang baik untuk industri. Drama ini pembabitan kali kedua saya dengan Zeel Production selepas Imam Instant Ustazah Scammer,” katanya.

Pelakon yang makin dikenali ini bersyukur mendapat skrip yang baik, sekali gus jelas dengan watak yang diinginkan mereka.

“Andra karakter unik. Yang menjentik hati saya berlakon cerita ini adalah bagaimana watak ini tiada langsung versi anarki. Watak hero ditonjolkan sangat positif.

“Saya kena ‘study’ betul-betul dan gali nilai positif karakter ini. Sebelum ini saya pernah bawa watak keras dan ada juga yang longgar.

“Saya teruja nak tunggu penggambaran Anak-Anak Mafia. Banyak juga kerja dibuat. Saya pernah ke Thailand untuk buat persiapan sebagai Andra. Saya bawa ‘Andra’ ke Thailand untuk cari pengalaman.

“Selain itu, saya ada jurulatih peribadi di mana saya berlatih setiap tiga hari dan berehat sehari. Ia bagi menampakkan fizikal saya yang selesa dengan watak Andra,” katanya.

Menurutnya, pembabitan dalam drama Anak-Anak Mafia juga kerana dia ingin merasa energi hebat setiap pelakon cerita itu.

“Karier nombor satu pada saya. Ia buatkan saya nak jumpa orang baru dan nak kenal mereka. Banyak bakat dalam industri yang muncul sekarang, namun saya bersyukur tetap ada rezeki.

“Tawaran kerja dikira banyak. Tapi, ada yang terpaksa ditolak kerana jadual tak mengizinkan. Kalau misalnya ada tiga tawaran serentak, kena buat pilihan dan pilih mana yang terbaik.

“Tak dinafikan ada waktunya saya penat, tapi penat bukan bermaksud saya tak suka. Ia lumrah bagi seorang manusia dalam apa yang dia buat. Penat yang saya lalui itu berkualiti. Saya gembira untuk lalui penat begini,” katanya yang melahirkan keinginan untuk berlakon dengan Que Haidar dan Wan Maimunah.

© New Straits Times Press (M) Bhd