Pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira bersama jejaka yang dikenali sebagai Mr.E. dilihat semakin terbuka berkongsi keakraban mereka kepada umum dan tidak lagi berselindung.
Terbaru, menerusi perkongsian di Insta Story Mr E atau nama sebenarnya Ezwan Zain, dia dan Errra meluangkan masa bersama beberapa rakan di sebuah kawasan rekreasi.
BACA: Erra Fazira, Mr E Makin Terbuka Kongsi Keakraban Kepada Umum
Erra dan Mr.E dilihat begitu bahagia duduk di atas kerusi sambil berbual dengan dikelilingi kehijauan pokok. Sementara itu, Mr E turut menggunakan lagu berjudul ‘Selalu Bahagia, Ya’ sebagai muzik latar hantaran berkenaan.
Sebelum itu, Mr.E ada memuat naik ucapan sempena ulang tahun kelahiran Erra pada 9 Februari lalu agar aktres itu hidup bahagia.
“Andai bumi terbelah, aku tetapi cinta padamu. Selamat ulang tahun buat kamu yang mempersonakan. Semoga tahun ini menjadikan dirimu seorang insan yang lebih baik dan diberi kebahagiaan hingga akhir hayat,” tulisnya.
Terdahulu, Erra mengaku sedang mengenali seseorang namun meminta agar semua pihak memberi ruang kepadanya.
Sementara itu, Mr E tidak menafikan yang mereka kini sedang dalam fasa mengenali hati budi namun hubungan mereka tidak lebih sekadar berkawan baik.