Ancelotti mahu Real berentap dengan Botafogo

Ancelotti mahu Real berentap dengan Botafogo

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, melahirkan rasa kagum terhadap Botafogo selepas kejayaan kelab Brazil itu menjuarai Copa Libertadores buat pertama kali dengan kemenangan 3-1 ke atas Atletico Mineiro pada Sabtu, walaupun beraksi dengan 10 pemain apabila Gregore dilayangkan kad merah hanya sebaik 30 saat perlawanan bermula.

Ancelotti menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian luar biasa bagi sebuah kelab bersejarah seperti Botafogo, yang pernah menjadi pangkalan kepada legenda Brazil seperti Garrincha, Jairzinho, Gerson, dan Carlos Alberto Torres.

Dengan kejayaan itu, Botafogo kini layak ke Piala Intercontinental yang diadakan dalam format baharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Sebagai juara Libertadores, Botafogo akan bertemu juara CONCACAF, Pachuca, dalam perlawanan penentuan untuk bertemu juara Piala Afrika-Asia-Pasifik, Al Ahly.

Pemenang perlawanan ini akan berdepan Real Madrid, juara Eropah, di perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Doha pada 18 Disember.

“Saya menonton perlawanan akhir Libertadores secara langsung dan sangat menikmatinya,” kata Ancelotti dalam sidang media pada Selasa.

“Atmosferanya luar biasa, saya benar-benar terpesona. Permulaan perlawanan sangat dramatik dengan insiden kad merah itu.”

Ancelotti turut memuji semangat juang Botafogo, yang mampu menguasai permainan walaupun kekurangan seorang pemain sepanjang perlawanan.

Beliau juga melahirkan rasa gembira untuk pemain tengah Botafogo, Allan, yang pernah beraksi di bawah bimbingannya ketika bersama Napoli dan Everton.

“Untuk mereka memenangi Libertadores buat kali pertama… iya, saya sangat gembira! Saya berharap mereka dapat mara ke perlawanan akhir Piala Intercontinental dan bertemu kami.”

Selain layak ke Piala Intercontinental, kemenangan ini juga menjamin tempat Botafogo dalam Piala Dunia Kelab 2025 yang diperluas, yang akan berlangsung di Amerika Syarikat.

Real Madrid sudah pun memastikan tempat mereka dalam kejohanan tersebut selepas menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-15 awal tahun ini.

Ancelotti menyatakan keyakinan bahawa pertembungan Botafogo dan Real Madrid di final Piala Intercontinental boleh menjadi sesuatu yang epik, menghidupkan semula sejarah gemilang kedua-dua kelab.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top