Ancaman cuaca ekstrem: Sekolah di timur Sepanyol ditutup

Ancaman cuaca ekstrem: Sekolah di timur Sepanyol ditutup

Madrid: Sekolah-sekolah di bandar yang dilanda banjir di timur Sepanyol ditutup pada Rabu ketika wilayah bersiap sedia untuk hujan lebat, kata pegawai.

Pejabat cuaca negara, AEMET, pada Selasa meletakkan Valencia serta Catalonia di timur laut dan Andalusia di selatan dan Kepulauan Balearic, dalam amaran jingga iaitu paras kedua tertinggi untuk hujan lebat sehingga Khamis.

Amaran itu dibuat dua minggu selepas ribut Mediterranean yang luar biasa menyebabkan banjir paling dahsyat di Sepanyol dalam beberapa dekad.

Ribut pada 29 Oktober sudah membunuh 223 orang, sebahagian besar daripada mereka di wilayah Valencia, menurut pengiraan rasmi terkini.

Berpuluh-puluh dewan bandaran di Valencia, termasuk Chiva, satu daripada lokasi paling teruk dilanda ribut sudah menangguhkan kelas, manakala gimnasium awam ditutup kerana ancaman hujan yang lebih lebat.

“Sebagai tindak balas kepada maklumat yang diberikan oleh perkhidmatan kecemasan, aktiviti sekolah dan sukan akan digantung mulai esok sehingga diberitahu kelak,” tulis dewan bandaran Chiva di X.

Imej disiarkan stesen penyiaran TVE menunjukkan sebuah kenderaan tentera memandu melalui bandar-bandar di Valencia menggunakan megafon untuk memberi amaran tentang ribut yang dijangkakan dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat ‘perjalanan yang tidak perlu’,”

Walaupun jumlah hujan yang diramalkan di Valencia adalah kurang daripada apa yang dialami dua minggu lalu, pegawai tempatan memberi amaran sistem kumbahan tersumbat dengan lumpur dan mungkin bergelut untuk mengatasi hujan yang ketara menyebabkan lebih banyak banjir mungkin berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top