Ancaman besar laman gelap

Ancaman besar laman gelap

saufi@mediaprima.com.my

ENJIN carian Internet seperti Google dan beberapa enjin carian lain akan memberikan dapatan dan kepelbagaian pautan berdasarkan input kata kunci daripada pengguna.

Memasukkan satu kata kunci, hasilkan pelbagai daripada bentuk kajian pakar, artikel berita sehingga kepada ruangan sembang atau forum.

Laman web yang diketahui hari ini sudah mempunyai jumlah data yang mungkin mencecah bilion atau lebih daripada itu lagi, apatah lagi data yang berada di dua lagi lapisan iaitu ‘deep web’ serta ‘dark web.’

Sebut saja ‘dark web,’ ia sudah mempunyai konotasi yang negatif iaitu bersifat gelap, kerahsiaan dan penjualan barangan terlarang.

Itulah hakikat sebenar dark web iaitu sisi lapisan Internet yang lebih dalam.

Ia umpama melihat bongkah ais di lautan, sisi atas air dikenali sebagai laman web enjin carian yang diketahui, manakala bongkah yang lebih besar di bahagian dalam mempunyai pelbagai sisi gelap Internet.

Platform itu juga menjual barangan terlarang yang turut dijual di platform laman dagang pasaran gelap antaranya dadah, senjata api dan pelbagai data peribadi yang dilelong secara pukal.

Laman dagang pasaran gelap Internet ini juga turut menjual rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sesebuah kawasan, tempat atau kediaman dan ia adalah hasil penggodaman pihak tidak bertanggungjawab.

Secara teknikalnya, ia agak sukar untuk dibendung kerana kewujudan platform berkenaan adalah mengutamakan kerahsiaan, sulit dan sisi gelap dunia siber.

Agensi teknikal keselamatan siber negara iaitu CyberSecurity Malaysia (CSM) turut mengakui kewujudan laman dagang berkenaan, namun usaha untuk membanterasnya agak sukar memandangkan platform sulit itu dicipta untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Penjualan data sensitif membabitkan pengguna di laman dark web secara pukal adalah manifestasi ketirisan data yang serius berlaku ketika ini.

Penganalisis Keselamatan Profesor Dr Mohd Mizan Aslam berkata, keadaan itu mampu menggugat keselamatan negara khususnya jika ia membabitkan jumlah ketirisan yang besar.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, tindakan perundangan atau penguatkuasaan sukar untuk dilaksanakan memandangkan penjualan itu menggunakan transaksi mata wang kripto.

“Ini bukan lagi isu ketirisan data atau data pengguna yang bocor, sebaliknya sudah menjadi isu keselamatan terutama jika ia membabitkan maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan, nombor passport, alamat rumah dan sebagainya.

“Saya amat yakin bahawa data pengguna yang dijual secara pukal di laman dark web berkenaan bukan saja membabitkan nama dan alamat, sebaliknya merangkumi nombor kad pengenalan serta beberapa maklumat sensitif lain.

“Melihat daripada satu aspek, data itu boleh digunakan pihak ketiga untuk tujuan penyamaran, pengintipan dan sebab itu, ia membabitkan keselamatan negara,” katanya.

Katanya, dark web sememangnya menjual barangan terlarang dan mereka menggunakan transaksi menggunakan mata wang yang bersifat ‘kerahsiaan’ seperti Monero (XMR) dan Litecoin (LTC).

Menurutnya, pengguna hanya perlu memasuki laman sesawang menerusi pautan tertentu serta enjin carian khas dan melakukan transaksi menggunakan mata wang kripto.

“Semua data sensitif pengguna yang diperoleh akan dijual menerusi dark web dengan harga yang murah serta secara pukal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top