Miami: Bintang golf Tiger Woods tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas anaknya, Charlie, mencatat hole in one pertama dalam kariernya, namun pasukan Langer berjaya menewaskan duo Woods dalam playoff untuk merebut mahkota Kejohanan PNC hari ini.
Aksi cemerlang Charlie, 15, berlaku di lubang keempat par tiga sejauh 160 meter (m) di Ritz-Carlton Golf Club, Orlando.
Dengan menggunakan iron 7, pukulan tepat itu mendarat 1.6m dari pin sebelum bergolek masuk ke dalam lubang, mencetuskan sorakan gemuruh dari penonton.
Woods yang teruja memeluk anaknya erat sebelum memberi sedikit dorongan mesra sebagai tanda kegembiraan.
“Ia pukulan sempurna menggunakan iron 7, jadi saya hanya fokus memukulnya,” kata Charlie kepada Golf Channel sambil berjalan menuju ke lubang keempat.
“Ia sangat hebat! Saya tak sangka ia masuk.”
Woods menyifatkan detik itu sebagai ‘detik luar biasa’.
“Dalam aksi dua lubang itu, dia mencatat eagle pertamanya di lubang ketiga dan kemudian hole in one pertamanya,” kata juara 15 kali kejohanan utama itu.
Duo Woods mendahului selepas pusingan pertama dengan catatan 59 semalam, sebelum mencatat skor 57 hari ini untuk rekod keseluruhan 36 lubang sebanyak 28 di bawah par.
Namun, pasukan Bernhard Langer dan anaknya Jason turut mencatat skor sama, memaksa perlawanan berlanjutan ke playoff.
Di lubang playoff pertama, Bernhard berjaya menyempurnakan pukulan eagle untuk menamatkan saingan dan meraih kemenangan kedua berturut-turut mereka dalam kejohanan ini.
Ini adalah gelaran keenam Kejohanan PNC buat Bernhard, dengan empat kemenangan bersama Jason dan dua lagi bersama seorang lagi anaknya Stefan.
Walaupun kejohanan ini berlangsung dalam suasana santai, aksi di padang tetap mencuri tumpuan.
Paddy Harrington, anak kepada juara utama tiga kali Padraig Harrington, turut mencatat hole in one pertamanya di lubang kelapan par tiga.
© New Straits Times Press (M) Bhd