Anak wira Bukit Kepong cerita kekejaman komunis

Anak wira Bukit Kepong cerita kekejaman komunis

MUAR: Seorang ahli keluarga anggota polis yang gugur dalam pertempuran tragedi berdarah Bukit Kepong tidak dapat melupakan peristiwa bapanya ditembak komunis ketika bersarapan, 75 tahun yang lalu.

Menurut Zaleha Ahmad, 71, anak kepada Allahyarham Ahmad Muhammad Jaafar, bapanya yang berkhidmat sebagai ‘mata-mata’ ditembak komunis di Berek Polis Bukit Kepong ketika bersarapan bersama keluarga.

“Ketika kejadian, saya masih lagi bayi berusia tiga bulan. Bapa, ibu dan kami tiga beradik bersarapan di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan.

“Ibu saya, Allahyarhamah Marian Ibrahim sering berkongsi kisah tragedi hitam itu dengan kami adik-beradik. Bapa saya membuka tingkap rumah dan terkena tembakan komunis di bahu sebelum rebah.

“Bapa saya sempat mengarahkan ibu sembunyikan kami adik beradik dalam peti besi di berek polis tetapi tidak sempat kerana komunis sudah tercegat di depan pintu lalu lepaskan tembakan kepada bapa. Peluru terkena perut ayah sehingga terburai,” katanya sayu.

Zaleha ditemui pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong yang dirasmikan Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, semalam.

Zaleha berkata, komunis kemudiannya meminta ibunya membawa mereka ke tepi sungai.

“Ibu yang mendukung abang saya yang ketika itu berusia tiga tahun diacukan senapang untuk dijadikan tebusan bagi memujuk tiga lagi anggota polis di balai polis untuk menyerah diri.

“Ibu saya kembali ke berek dan menarik ayah yang cedera ditembak ke tepi sungai. Saya dipangku oleh kakak yang berusia lima tahun.

“Selepas komunis masuk ke dalam hutan, bot digerakkan untuk bawa anggota polis yang cedera ke Hospital Muar melalui sungai. Ayah menghembuskan nafas terakhir di dalam bot,” kongsinya. – UTUSAN

Scroll to Top