Anak tauke restoran dibunuh kerana dendam, tiga lelaki diburu

Anak tauke restoran dibunuh kerana dendam, tiga lelaki diburu

am@hmetro.com.my

Sandakan: Dendam dipercayai menjadi motif utama pembunuhan anak seorang pemilik restoran sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di kawasan semak ladang sawit Jalan Sungai Memanjang, di sini, semalam.

Mangsa Naufal Abdul Rashid, 35, yang hilang sejak Ahad lalu ditemukan kira-kira 11 pagi semalam selepas sepasukan polis melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan susulan laporan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Ramasamy Kuppan berkata, polis sudah mengenal pasti suspek selepas seorang wanita tempatan berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat berkenaan.

Beliau berkata, polis juga memburu warga Indonesia, Mohd Jasmin Ruslan, 24, atau dikenali sebagai Ahcok dan dua warga tempatan, Mohamad Zulfaizzie Mohd Firdaus, 24, dan lelaki yang hanya dikenali sebagai Komeng, 20-an, bagi membantu siasatan

“Wanita yang ditahan adalah bekas isteri suspek yang masih dicari iaitu Mohd Jasmin. Mengenai hubungan dengan ketiga-tiga suspek, mangsa (Naufal) berkenalan dengan seorang wanita, iaitu adik kepada seorang daripada suspek.

“Mereka berjumpa di Sandakan bagi berbincang dan menyelesaikan masalah terbabit (sebelum pembunuhan). Motif pembunuhan dikaitkan dengan hubungan mangsa dan adik kepada suspek berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di sini, petang tadi.

Ramasamy berkata, berdasarkan maklumat, mangsa hilang jam 4 pagi pada 21 Julai dan kali terakhir mangsa ditemui bersama dengan Ahcok.

“Masa sebenar kematian dan bila mangsa dibunuh belum dapat dipastikan. Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK). Bedah siasat serta proses pengecaman akan dijalankan esok,” katanya.

Katanya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemukan apa-apa senjata berkaitan kes ini dan pasukan forensik sudah menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd