Kedua-dua anak kepada jururawat, Munirah Abu Bakar, 31, yang maut ditikam suami di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis pada Sabtu lalu masih belum mengetahui tragedi sebenar menimpa ibu mereka.
Memetik laporan Utusan Malaysia, kakak mangsa Melati Abu Bakar, 39, yang menjaga anak mangsa berusia lapan dan enam tahun itu sudah memberitahu perkara sebenar apabila jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan semalam.
“Anak sulung arwah ada tertanya-tanya juga mana mama? Mama tak balik kerja lagi ke? Mereka masih beranggapan mama mereka masih di tempat kerja,” katanya.
Melati bersama bapa Abu Bakar Senapi, 64, hadir ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pagi semalam untuk proses pengecaman mayat ke atas Allahyarhamah sebelum proses bedah siasat bermula.
Melati berkata, keluarga mereka masih terkejut dengan berita tersebut namun reda dengan takdir malah sudah memaafkan suspek yang dianggap seperti keluarga sendiri seelain menyerahkan segalanya kepada keputusan mahkamah.
Malah, keluarga mereka belum memutuskan tentang hak penjagaan anak pasangan tersebut memandangkan kejadian itu berlaku secara tiba-tiba.
Dalam pada itu, menurut laporan Kosmo pula, rakan baik mangsa iaitu Rosima Dollah, 31, memberitahu Allahyarhamah pernah menyuarakan hasrat untuk berpisah dengan suaminya namun membatalkannya demi anak-anak.
“Arwah pernah menyuarakan perkara itu (berpisah) namun tak jadi kerana memikirkan anak-anaknya yang masih kecil, malah ketika berbual semalam arwah ada beritahu bahawa dia akan ke pejabat agama esok untuk menguruskan hal itu.
“Saya tidak bertanya panjang-panjang kerana saya tahu arwah menyembunyikan sesuatu dan dia enggan beritahu saya,” ujarnya.
Sementara itu, pemergian arwah diselubungi dengan kesedihan daripada rakan serta kenalan yang turut meninggalkan ucapan takziah dan masih terkejut dengan berita menyayat hati.
Jenazah Allahyarhamah Munirah Abu Bakar, 31, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keluarga Haji Talib, Kampung Paya Tengah, Perlis.
Sumber: Utusan Malaysia, Kosmo! (Jamliah Abdullah), Facebook