Anak Gaza bercita-cita syahid seperti ayahnya

Anak Gaza bercita-cita syahid seperti ayahnya

SEWAKTU kunjungannya ke bumi Gaza 12 tahun lalu, pendakwah terkemuka, Ustaz Nabil Ahmad mengakui kehebatan rakyat Palestin sukar dicari dalam kalangan masyarakat hari ini lantaran mereka hidup di bumi yang diberkati hingga disebut dalam al-Quran.

Ketahuilah bahawa mereka hidup dengan al-Quran sehinggakan pejuang Palestin yang menyertai Briged Al-Qassam melalui saringan ketat.

“Tapisan pertama, mereka akan melihat solat Subuh berjemaah selama 40 hari, sedangkan kita pun begitu sukar untuk berbuat demikian.

“Selesai saringan pertama, mereka akan lihat pula solat berjemaah selama 60 hari dan ketiga, seseorang itu mestilah hafiz al-Quran.

“Ini bermakna bukan calang-calang orang seperti Abu Ubaidah (jurucakap Briged Al-Qassam) dan seumpama dengannya. Mereka bukan hanya tutup muka nampak mata tetapi jiwa mereka celik, tidak seperti kita,” katanya.

USTAZ NABIL

USTAZ NABIL

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Demi Al-Aqsa: Masjid dan amanah kita sempena Majlis Pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia 2025 anjuran Kerajaan Perlis di bawah Exco Hal Ehwal Agama di Kangar, Perlis baru-baru ini.

Menerusi forum tersebut, Ustaz Nabil turut menekankan tentang generasi muda di Palestin yang diasuh dengan kefahaman Islam mendalam.

Sejak kecil, katanya, mereka sudah memiliki cita-cita besar bukan sekadar untuk menjadi kelompok profesional tetapi juga sebagai mujahid yang mempertahan-kan agama ALLAH SWT dan tanah air.

“Kalau hari ini anak-anak nampak, artis di tempat pertama, manakala ibu bapa di kedudukan nombor 10, ia satu kerugian bagi umat Islam.

“Pernah sekali ketika saya ziarah di Gaza, seorang anak berusia sekitar 11 tahun, semasa ditanyakan tentang cita-citanya, mereka jawab mahu jadi arkitek, doktor, juruterbang dan sebagainya tapi harapan terakhir mereka adalah mahu jadi seperti ayah masing-masing yang merupakan seorang syahidah (mati syahid),” ujarnya.

Bukan itu sahaja, jelas penceramah terkemuka tersebut, warga Palestin juga begitu menghargai masa dan menepati waktu dalam segala urusan.

“Ketika saya sedang duduk di pinggir masjid, saya perhatikan semasa azan berkumandang, semua aktiviti yang dilakukan masyarakat di situ dihentikan termasuklah kanak-kanak yang sedang bermain bola.

“Malah, mereka bawa masuk juga bola itu ke dalam masjid untuk menyahut seruan ALLAH (untuk mendirikan solat),” katanya.

KEHEBATAN rakyat Palestin sukar dicari dalam kalangan masyarakat hari ini lantaran mereka hidup di bumi yang diberkati hingga disebut dalam al-Quran. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

KEHEBATAN rakyat Palestin sukar dicari dalam kalangan masyarakat hari ini lantaran mereka hidup di bumi yang diberkati hingga disebut dalam al-Quran. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

ANEKDOT

Kisah inspirasi pejuang Palestin yang gugur syahid

1. Sheikh Ahmed Yassin (1936-2004)

Meskipun dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) tetapi Sheikh Ahmed Yassin tidak pernah meninggalkan solat jemaah di masjid.

2. Dr Abdul Aziz Al-Rantisi (1947-2004)

Beliau meninggalkan keluarga selama berbulan-bulan lamanya demi menjaga keselamatan. Ketika menunaikan permintaan isterinya untuk pulang ke rumah, beliau dibom.

Sebelum itu, beliau sempat berpesan kepada isterinya agar tidak memakamkannya sepertimana kubur orang lain. Katanya ‘Biar saya datang dari tanah, saya ingin kembali kepada tanah’.

Kuburnya hanya diletakkan simen sekadar untuk menandakan bahawa itu merupakan pusaranya.

3. Sheikh Solah Syahada (1953-2002)

Dikatakan bahawa beliau didera secara luar biasa ketika dalam tahanan Israel. Bayangkan setiap kali dirinya ditanya tentang strategi, susunan, barang, kelengkapan senjata Palestin dan sebagainya, beliau hanya menzahirkan kalimah ALLAH pada bibirnya sekalipun kukunya dicabut satu per satu hingga terpercik darah. Namun, kalimah ALLAH tidak pernah luput dari bibirnya.

*Sumber: Pendakwah Ustaz Nabil Ahmad

Scroll to Top