Anak diuji hidap penyakit tiada penawar, derita kanser otot

Anak diuji hidap penyakit tiada penawar, derita kanser otot

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Pasangan suami isteri reda dengan takdir Allah apabila dua daripada anak mereka yang dilahirkan normal disahkan menghidap penyakit genetik yang tiada penawarnya, manakala seorang lagi pula menghidap kanser otot.

Sebelum ini, pasangan itu pernah kehilangan anak sulung, Muhammad Adib Naufal Mohamad Nazri, akibat komplikasi jantung ketika berusia tiga tahun.

Sabariah Ahmad, 35, berkata dua anaknya, Muhammad Adib Safwan Mohamad Nazri, 12, dan adiknya, Muhammad Adib Niyaz, 9, disahkan menghidap penyakit genetik iaitu Duchenne Muscular Dystrophy, yang menyebabkan gangguan otot akibat mutasi genetik dalam kromosom X yang berfungsi dalam produksi protein dystrophin.

Katanya, akibatnya kini Muhammad Adib Safwan tidak dapat berjalan sejak usianya 10 tahun apabila kakinya bengkok ketika berjalan sebelum perlahan-lahan dia tidak dapat berjalan dan kini hanya mampu baring, manakala adiknya yang kedua, Muhammad Adib Niyaz, kini sudah mengikut jejak langkah abangnya.

Menurutnya, Adib Safwan dan Adib Niyaz kini belajar di kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besar dan setiap hari dia terpaksa mendukung mereka dari jalan besar sehingga ke dalam kelas.

“Saya membawa kedua-dua anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setiap enam bulan sekali untuk mendapatkan pemeriksaan dengan pakar genetik, dan doktor mengesahkan penyakit dua beradik itu tiada penawarnya.

“Namun, hanya satu cara iaitu mereka perlu makan ubat untuk melambatkan proses kerosakan otot yang lebih teruk.

“Dua anak saya ini mewarisi genetik keluarga saya disebabkan abang serta anak saudara saya turut menghidap penyakit sama dan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pondok Haji Mahamud, Bukit Besar, di sini, hari ini.

Sabariah berkata, anak bongsunya, Muhammad Adib Saqeef, pula disahkan menghidap kanser Rhabdomyosarcoma with nodal metastasis, juga berkaitan otot tahap tiga sejak Oktober tahun lalu.

Katanya, anaknya dikesan menghidap penyakit itu selepas timbul kelenjar di lengan tangan kiri seperti duit syiling 50 sen sebelum ia membesar seperti bola pingpong.

“Saya membawanya ke HSB untuk pemeriksaan sebelum doktor merujuk kes anak saya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan menjalani ujian biopsi di sana.

“Adib Saqeef sudah menjalani tujuh kali pusingan kemoterapi dan hanya satu lagi pusingan akan dibuat pada 12 Februari ini. Alhamdulillah, kelenjar itu sudah kecut,” katanya.

Menurutnya, dia yang tidak bekerja hanya bergantung pada suaminya, Mohamad Nazri Said, 40, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di sini.

“Muhammad Adib Safwan dan Muhammad Adib Niyaz mempunyai kad orang kurang upaya (OKU), namun saya hanya mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk Muhammad Adib Saqeef sebanyak RM500 sebulan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun 0213829000019581 (BSN) atas nama Sabariah Ahmad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top