Anak autisme saya tidak pandai bercinta – Zarina

Anak autisme saya tidak pandai bercinta – Zarina

KUALA LUMPUR – Pelakon Zarina Zainuddin mengesahkan percintaan anak autismenya, Muhammad Raizal Azrai atau Azal dengan wanita kelahiran Indonesia dikenali sebagai Rahmah putus di tengah jalan.

Zarina memberitahu, ini kerana anak lelakinya tidak pandai bercinta yang membuatkan Rahmah tawar hati.

Dia berkata, wanita itu telah mengembalikan cincin yang dihadiahkan Azal kepadanya kerana menganggap dia tidak dihargai apabila anak kembarnya itu tidak membalas mesej dihantar.

“Azal lupa dengan saya ya? Tak pernah ada khabar. Nanti saya kembalikan cincin yang Azal kasi ya.

“Patutlah Rahmah pulangkan cincin dan gelang yang Azal kasi… Azal tak pandai bercinta.

“Dia sayang tapi dia tak pandai nak balas mesej,” katanya berkongsi mengenai perkara itu menerusi Instagram miliknya, hari ini.

Azal turut memiliki kembar yang juga autisme, Muhammad Razil Azrai atau Azil.

Mengulas lanjut, Zarina memuji sikap Rahmah yang memulangkan kembali barang-barang yang telah dia berikan kepada wanita berkenaan.

Dia juga berterima kasih kepada Rahmah kerana pernah membahagiakan anaknya.

“Rahmah dah balik ke Indonesia, dia pulangkan barang cuma kenangan manis tetap bersemadi selamanya.

“Terima kasih Rahmah hadir membahagiakan Azal walaupun sementara. Kami sayang Rahmah,” luahnya.

Memahami kekurangan anaknya itu yang menghidap autisme, Zarina berlapang dada sekiranya anaknya tidak mempunyai jodoh dengan wanita berkenaan dan kekal membujang selamanya.

“Saya pun dah reda sajalah, biarlah Azal dengan saya selamanya.

“Saya tak mengharapkan apa-apa lagi, ada adalah, tak ada pun saya terima takdir anak saya,” ujarnya.

Azal dan Rahmah mula rapat apabila sama-sama terlibat dalam festival jualan di Singapura pada September lalu. – MalaysiaGazette