Amuk, Cromok mahu konsert mereka dikenang peminat

Amuk, Cromok mahu konsert mereka dikenang peminat

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Amuk, Bandi mengharapkan kesihatannya berada dalam keadaan baik untuk beraksi dalam Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk yang akan berlangsung di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Bandi atau nama sebenarnya, Nasabandi Jumat, 61, berkata, kebelakangan ini dia banyak didatangi undangan beraksi dalam persembahan membuatkannya tidak cukup rehat.

“Tak dinafikan rezeki saya agak murah selepas Aidilfitri. Boleh dikatakan setiap hari ada undangan nyanyian sehingga mengakibatkan saya hilang suara.

“Bagaimanapun menjelang konsert, saya mula memperlahankan rentak. Bukan tiada tawaran tapi saya menolak kerana nak fokus pada konsert yang julung kali diadakan.

“Saya dan kumpulan Cromok nak berikan yang terbaik dan kepuasan buat peminat yang akan hadir nanti,” katanya ditemui pada sesi latihan yang diadakan di Cromok Studio, di sini.

Bandi berkata, latihan untuk konsert ini dibuat sejak sebelum Ramadan dan bersambung semula selepas Aidilfitri sehinggalah menjelang hari konsert.

“Boleh dikatakan latihan dah hampir sempurna. Saya dan Sam (penyanyi Cromok) akan menampilkan persembahan yang akan dikenang peminat yang hadir.

“Akan ada lagu yang dimainkan bersama oleh kedua-dua kumpulan dan akan dinyanyikan oleh kami berdua. Ia memang tak pernah berlaku.

“Saya dah lama tunggu peluang ini. Akhirnya, saya dan Cromok dapat kongsi satu pentas. Jadi diharapkan agar peminat-peminat rock hadir memberikan sokongan,” katanya.

Sementara itu, pemain gitar Cromok, Karl berkata, konsert ini akan menampilkan sebanyak 15 hingga 18 lagu.

“Datang beramai-ramai menonton kerana Cromok tidak akan buat benda yang sama dalam setiap kemunculan.

“Ia takkan diulangi di lokasi lain. Kami juga nak fokus pada konsert ini dan belum terfikir nak adakan di tempat lain selepas ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top