Amorim sedia mempertaruhkan budak mentah

Amorim sedia mempertaruhkan budak mentah

Manchester: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim bakal mempertaruhkan lebih ramai pemain muda dalam baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila kelab itu kini meletakkan sepenuh tumpuan kepada kempen Liga Europa.

United yang kini tenggelam di tangga ke-14 liga, 17 mata ketinggalan daripada kelompok lima teratas, hanya mempunyai satu peluang terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan iaitu dengan menjuarai Liga Europa.

Mereka melangkah ke separuh akhir kejohanan itu selepas menewaskan Lyon 7-6 secara agregat dalam aksi dramatik.

Amorim sebelum ini sudah memberi peluang kepada beberapa pemain muda seperti Harry Amass dan Ayden Heaven (kedua-duanya 18 tahun), selain penyerang 17 tahun, Chido Obi, yang membuat tiga penampilan.

Kini, ketiga-tiga bintang muda itu dijangka akan diturunkan lebih kerap dalam aksi liga.

“Ini bukan waktu terbaik atau musim terbaik untuk beri peluang kepada pemain muda kerana mereka perlukan asas kukuh. Tapi sekarang kami terpaksa melakukannya, kadang-kadang ia mendatangkan kejutan,” kata Amorim.

“Ayden main sebab kami alami krisis kecederaan, tapi hari ini dia sudah jadi pemain saya. Bila dia bersaing dan bersedia, dia akan main.

“Amass beraksi sangat baik lawan Lyon, Chido pun beri impak ketika diturunkan. Ini bukan situasi ideal untuk pemain muda, tapi kalau perlu, kami akan terus beri mereka peluang.”

United akan menerima kunjungan Wolverhampton Wanderers Ahad ini dan Amorim turut memuji rakan senegaranya, Vitor Pereira, yang berjaya membawa Wolves keluar dari zon penyingkiran sejak mengambil alih Disember lalu.

“Beliau lakukan kerja yang sangat baik. (Matheus) Cunha dan beberapa pemain lain memang berkualiti. Ia akan jadi aksi sukar.

“Saya tahu musim ini bukan masanya untuk minta lebih daripada penyokong, tapi kami benar-benar perlukan sokongan mereka pada Ahad.”

Amorim turut mengesahkan Victor Lindelof dan Noussair Mazraoui akan kembali disenaraikan menentang Wolves selepas kedua-duanya terpaksa meninggalkan Stadium Old Trafford lebih awal ketika menentang Lyon kerana masalah peribadi.

“Semuanya dalam keadaan baik sekarang. Kadang-kadang ada perkara lebih penting dari bola sepak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top