Amorim pecahkan televisyen United?

Amorim pecahkan televisyen United?

London: Penyokong Manchester United menemui bukti baharu yang memperkuatkan andaian mereka bahawa Ruben Amorim benar-benar memecahkan skrin televisyen di bilik persalinan pasukan selepas Red Devils tewas 1-3 di tangan Brighton pada Ahad lalu.

Pengendali dari Portugal itu dilaporkan berang dengan pemainnya di Old Trafford sehingga menyebabkan kerosakan kepada televisyen milik pasukan.

Kini, penyokong United semakin yakin insiden itu benar-benar berlaku berdasarkan reaksi mereka selepas menyedari terdapat luka di jari kanan pengurus United terbabit ketika ditemu bual wartawan.

Luka itu tidak kelihatan sebelum atau ketika perlawanan sehinggakan beberapa penyokong menganggap ia akibat insiden di bilik persalinan.

Seorang penyokong di X berkata: ‘Adakah terdapat luka di jarinya?’ Manakala seorang lagi berkata: “Sudah pasti ia seperti menumbuk sesuatu.”

Menurut penyokong ketiga : “Dia sebenarnya mula bosan dan anda tidak boleh menyalahkan dia.”

Kekecewaan Amorim jelas terbayang dengan kekalahan ketujuh United dalam 15 perlawanan sehingga menganggap “kami paling teruk dalam sejarah kelab.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top