
Amorim sifatkan pasukan yang dikendalikan sekarang merupakan skuad United yang paling teruk dalam sejarah. Foto AFP
PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan pasukannya sebagai yang paling teruk dalam sejarah The Red Devils selepas kekalahan 1-3 kepada Brighton pada Ahad.
Kekalahan memalukan itu menyebabkan pemain United diejek oleh penyokong sendiri selepas berakhirnya perlawanan tersebut.
Kekalahan itu meletakkan United di tangga ke-13 dengan 26 mata, 10 mata di atas zon penyingkiran.
“Dalam 10 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris, kami hanya menang dua. Kami adalah pasukan paling teruk mungkin dalam sejarah Manchester United.
“Saya tahu anda (media) mahukan tajuk utama, tetapi saya katakan sebegini kerana kami perlu mengakuinya dan mengubahnya,” katanya.
“Bayangkan apa perasaan peminat Manchester United dan bayangkan keadaan ini untuk saya. Pasukan mendapat jurulatih baharu yang tewas lebih banyak daripada jurulatih terakhir.
“Saya tahu perkara tersebut. Saya tidak akan mengubah (sistem 3-4-3), tidak kira apa pun berlaku. Saya tahu kami boleh berjaya tetapi kami perlu bertahan ketika ini,” katanya.
Amorim menegaskan semua orang di Untied perlu dipersalahkan dan kekalahan ketujuh dalam 15 perlawanan itu sesuatu yang mengecewakan.
“Kalah banyak perlawanan tidak boleh diterima. Untuk mana-mana kelab Inggeris dan anda bayangkan Manchester United. Jadi ia adalah saat yang sukar tetapi kami perlu meneruskan dan cuba memperbaiki pasukan. Tiada cara lain,” katanya.