AMKL2024 bawa pemain industri automotif dunia

AMKL2024 bawa pemain industri automotif dunia

Seiring dengan pertumbuhan jualan kenderaan penumpang di Malaysia yang memberangsangkan, satu pameran membabitkan ekosistem industri automotif di Malaysia, Automechanika Kuala Lumpur 2024 (AMKL2024) diadakan pada 1 hingga 3 Ogos ini.

Ia penganjuran kali ke-13 di negara ini sejak diadakan secara dwi tahunan pada 2003 untuk acara yang mula diperkenalkan di Frankfurt, Jerman pada 1971.

Ia juga acara antarabangsa yang dianjurkan di beberapa negara terpilih termasuk Malaysia.

Untuk tahun ini ia diadakan di Dewan 1 hingga 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang bakal disertai pemain industri berkaitan.

Pengurus Besar Messe Frankfurt (HK) Ltd, Fiona Chiew sebagai pengatur acara berkata edisi tahun ini menampilkan pameran berkaitan produk penyelesaian mobiliti automotif terutama berkaitan pembangunan kenderaan tenaga baharu dan kemajuan teknologi berkaitan.

“Pasaran automotif di Malaysia kini sedang mengalami perubahan daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada mobiliti lebih mesra alam seperti hibrid dan elektrik.

“Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) juga menyediakan sokongan dasar untuk pertumbuhan industri kenderaan elektrik melalui tadbir urus, insentif, peraturan dan penyelarasan standard serta banyak lagi insentif daripada kerajaan,” katanya.

AMKL 2024 meliputi pempamer daripada aspek seperti mobiliti pintar, tenaga baharu kenderaan, pembuatan, logistik dan fleet, produk selepas pasaran, kemampanan dan gaya hidup yang menjadi trend di bawah peralihan automotif Malaysia.

Pameran dibahagikan kepada beberapa segmen seperti Zon Penyelesaian Mobiliti Automotif untuk memaparkan penawaran terkini untuk pembangunan, perancangan bandar dan mobiliti pintar.

Zon ini difokuskan kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang latar belakang dasar dan

landskap pembangunan sektor kenderaan tenaga baharu dan memajukan kemampanan dalam industri automotif.

Ia turut meliputi kenderaan elektrik (EV), sistem bateri, teknologi pengecasan, pendigitalan, teknologi Internet benda (IoT) dan banyak lagi daripada jenama dan syarikat terkemuka yang mempamerkan dalam zon tersebut termasuk Hella, Henkel, Launch, Scoot-A-Long dan Vanli.

Selain pameran turut dianjurkan pertama kali di Malaysia program persidangan Penyelesaian Mobiliti Automotif dengan pelbagai topik dibincangkan termasuk rantaian bekalan dan pergudangan, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), pengurusan fleet dan pembuatan kenderaan yang membabitkan syarikat seperti Bosch Rexroth, Forwardlog, Henkel, MARii, MDEC, SHRDC, Swift, Universiti Teknologi Malaysia, Volkswagen, Volvo Trucks dan ZEVA.

Selain itu Zon Fleet dan Kenderaan Komersial juga disediakan membabitkan pembabitan e-dagang, perkhidmatan penghantaran makanan dan perkongsian perjalanan yang memperkenalkan alat ganti dan komponen, alatan untuk bas dan trak selain motosikal, kereta dan kenderaan ringan.

Zon Binaan Khas, Aksesori, Cat dan Badan, Penyelenggaraan dan Penjagaan dan Pembaikan Automotif pula menyediakan rangkaian produk dan teknologi terutama produk selepas pasaran termasuk diagnos dan baikpulih, pembersihan dan penjagaan kereta, perincian, minyak pelincir dan lain-lain.

Ia disertai oleh jenama terkemuka seperti Alientech, Autel, FlexiShield, Launch, OBD, Reflek, Thinkcar dan TOPDON.

Chiew juga menambah Malaysia dipilih sebagai salah satu negara untuk dianjurkan pameran itu di rantau Asia selain China dan Vietnam kerana mempunyai syarikat pengeluar kereta jenama sendiri seperti Proton dan Perodua selain ekosistem industri yang menyeluruh serta mempunyai ramai kepakaran dan kemahiran dalam bidang masing-masing.

Edisi AMKL sebelum ini menerima lebih 10,000 pengunjung daripada segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan sekitar 300 pempamer yang dihadiri dari lebih 21 negara di seluruh dunia dan meningkat sekitar lima peratus dari tahun ke tahun terutama syarikat dari Malaysia.

“Melihat kepada edisi sebelum ini ramai juga pengunjung daripada segmen perniagaan ke pelanggan (B2C) yang datang bagi melihat dengan lebih dekat penawaran pelbagai produk dalam industri dan ada yang membuat pesanan secara dalam talian sebelum ini datang untuk mengenali dengan lebih dekat syarikat pembekal tersebut.

“Tahun lalu AMKL juga menerima kehadiran pengunjung 77 negara dari pelbagai benua dan kali ini bersempena Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China membuka ruang aktiviti suai-padan perniagaan dan hubungan dua hala,” katanya.

Selain pameran perdagangan dan persidangan turut diadakan Bengkel Latihan Membaiki Perlanggaran (Collision Repair Training Workshop) yang kembali diadakan disertai pakar dalam pelbagai bidang untuk berkongsi pengetahuan seperti ESnet Academy Sdn Bhd akan menawarkan gambaran keseluruhan terperinci tentang sistem kenderaan elektrik, diagnostik dan kecekapan serta daripada ISQ dan 3M akan meneroka topik berkaitan peralatan pelindung diri (PPE) untuk industri badan dan cat yang sesuai dihadiri oleh juruteknik, mekanik serta pemilik bengkel.

Acara autoFEST@KL dalam AMKL adalah kali kedua dianjurkan bagi menarik lebih ramai peminat automotif hadir bagi memeriahkan acara selain bertukar pandangan tentang dunia automotif tempatan dan antarabangsa.

Turut diadakan persembahan DJ, nyanyian dan tarian serta pameran kenderaan sport prestasi dan kereta klasik serta peminat sukan permotoran berkumpul dalam satu acara.

Untuk pengunjung tiada bayaran masuk dikenakan cuma perlu mendaftar secara atas talian, namun untuk peserta persidangan dan AutoFEST@KL ada bayaran dikenakan pada kadar harga berpatutan.

Layari laman web Automechanika Kuala Lumpur 2024 untuk maklumat lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top