NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya menolak draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), atas alasan ia tidak akan menjamin pembebasan tebusan, pada Rabu.
Draf resolusi tersebut menggesa gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Gaza.
Timbalan Duta AS ke PBB, Robert Wood berkata, pihaknya telah menyatakan dengan jelas sepanjang rundingan bahawa mereka tidak dapat menyokong gencatan senjata tanpa syarat yang gagal membebaskan tebusan.
“Ini kerana, seperti yang dikatakan oleh majlis ini sebelum ini, pengakhiran yang bertahan lama kepada peperangan mesti datang dengan pembebasan tebusan.
“Kedua-dua matlamat mendesak ini berkait rapat. Resolusi ini meninggalkan keperluan itu, dan atas sebab itu, Amerika Syarikat tidak dapat menyokongnya,” katanya dalam sidang majlis berkenaan.
Resolusi yang dikemukakan kepada 15 ahli majlis oleh 10 ahli tidak tetapnya menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal dihormati oleh semua pihak, dan seterusnya mengulangi tuntutan untuk pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan.
Hanya AS yang mengundi untuk menolak resolusi berkenaan, menggunakan kedudukannya sebagai salah satu daripada lima ahli tetap majlis untuk menggunakan kuasa vetonya.
Empat ahli tetap yang lain mengundi untuk menyokong draf resolusi itu termasuk United Kingdom (UK) di mana sebelum ini telah berkecuali dalam tiga draf resolusi gencatan senjata lain. – CNN / HARAKAHDAILY 21/11/2024