Alyssa impi lebih banyak kejayaan

Alyssa impi lebih banyak kejayaan

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nur Alyssa Farid semakin bersinar dalam arena berbasikal trek negara apabila berjaya mencipta nama di peringkat elit selepas menyerlah di kejohanan antarabangsa.

Pelumba muda berasal dari Muar, Johor itu mengakui teruja dapat menyertai skuad elit dan menjadikan rakan sepasukannya, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sebagai inspirasi untuk terus melakar kejayaan.

“Saya gembira kerana dapat bersama skuad elit dan bersaing dengan pelumba yang lebih berpengalaman. Apa yang penting, saya perlu terus bekerja keras untuk mencapai tahap mereka dan tidak mahu ketinggalan dalam saingan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak melihat jurang terlalu jauh antara dirinya dan pelumba senior lain, malah bertekad meningkatkan prestasi agar dapat memberi saingan lebih sengit.

“Izzah (Izzati), dia juga bermula dari usia muda dan berjaya mencapai tahap yang membanggakan. Saya yakin dengan usaha gigih, saya juga mampu menjejaki kejayaan yang sama,” katanya.

Nama Nur Alyssa mula mencuri tumpuan apabila memenangi pingat perak dalam acara keirin wanita remaja di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023.

Sejak itu, dia semakin mendapat perhatian sebagai pelumba berbakat besar yang bakal menggegar persada sukan berbasikal negara.

Terbaru, gandingannya bersama Anis Amira Rosidi dan Izzah Izzati mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan serta meraih pingat perak dalam acara pecut berpasukan wanita di ACC 2025 dengan catatan 48.458 saat (s).

Catatan itu sekali gus memperbaharui rekod lama 49.025s yang sebelum ini dipegang oleh Nurul Aliana Syafika Azizan, Izzah Izatti dan Anis pada Sukan Asia Hangzhou, September 2023.

“Saya berbangga dengan pencapaian ini tetapi tidak mahu terlalu selesa. Saya mahu terus bekerja keras untuk menampilkan prestasi lebih baik dalam kejohanan akan datang,” katanya dengan penuh tekad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top