am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi rap dan penerbit muzik kelahiran Singapura, Alyph mengakui dia memilih untuk kurang berkongsi cerita peribadi terutama berkaitan hal rumah tangga di media sosial kerana mahu menjaga privasinya.
Alyph atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah, 35, berkata, profesionnya adalah menghasilkan muzik dan bukan untuk menulis berkaitan hal peribadinya.
“Produk saya cuma bidang muzik sahaja. Jadi dari situ, saya agak tegas untuk mengasingkan kedua-duanya sebab saya pun nak kena menjaga privasi.
“Macam-macam yang kita boleh dapat dari
Internet tetapi saya tidak mahu beri galakan.
“Saya memang memilih untuk mendahulukan karya dan hal peribadi saya pula tidak penting untuk semua orang tahu,” katanya ketika ditemui selepas membuat persembahan sempena pelancaran albumnya, The Storm yang berlangsung di sebuah pusat membeli-belah di sini, kelmarin.
Mengulas sisi peribadi lagi, kata Alyph, dia hanya berkongsi cerita peribadinya bila dirasakan perlu sahaja.
“Jika ada pengikut (netizen) yang menghantar Direct Message (DM) di media sosial, mungkin saya akan kongsi.
“Ataupun bila saya berasa masa yang tepat untuk kongsi hal peribadi ketika itu baru saya buatlah. Tapi saya tak boleh nak sebut hal peribadi sebab perkara itu terlalu dekat dalam hati saya,” katanya.
Sementara itu, kata penyanyi yang mencetuskan fenomena menerusi lagu ‘Swipe’ ini, dia juga tidak menghasilkan lagu untuk mengejar viral (tular) dalam industri seni sahaja.
“Kalau niat saya buat lagu untuk mengejar ‘viral’ senanglah macam itu. Saya tidak mahu menipu pendengar dan perkara seperti itu tidak kekal.
“Sebagai pemuzik, tugas saya untuk terus menghasilkan muzik dan memberi sesuatu pada industri muzik di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd