Pelakon Alya Iman kembali menjadi sebutan netizen selepas namanya dikaitkan dalam satu ciapan tular yang menyenaraikan selebriti didakwa menjalin hubungan dengan suami orang.
Tidak melatah dengan dakwaan yang kembali dibangkitkan, Alya, 24, memilih untuk tidak ambil tahu dan menganggap perkara itu sudah berlalu.
“Kalau orang nak kaitkan nama saya, itu di luar kawalan saya. Apa yang dah jadi, biarlah berlalu. Saya tak nak komen apa-apa pun.
“Sejujurnya, saya tak baca pun. Komen negatif pun saya tak layan. Malah, kadang-kadang komen biasa pun saya tak sempat baca semuanya. Bagi saya, benda tu tak penting dan tak beri apa-apa kesan,” katanya.
Alya berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran drama Pabila Dia Tersenyum di Sunway Pyramid, pada Selasa.
Terdahulu, perkongsian di platform Threads mencetuskan spekulasi apabila beberapa nama artis didakwa menjadi ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga selebriti media sosial malah turut menyebut nama Alya.
Tidak menolak wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerjayanya, Alya bagaimanapun yakin rezeki setiap orang telah ditentukan.
“Saya tak tahu dan tak rasa pun ada orang nak jatuhkan saya. Saya percaya rezeki di tangan Allah. Saya buat kerja saya, selebihnya saya serah pada-Nya. Kalau betul ada orang cuba jatuhkan pun, saya yakin rezeki tetap ada,” ujarnya.
Imbas kembali, sekitar tahun 2020, nama Alya pernah terpalit kontroversi apabila didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang ahli perniagaan berstatus suami orang.
Pendedahan dibuat oleh isteri lelaki terbabit di Instagram yang mendakwa suaminya sudah setahun menjalin hubungan dengan Alya.
Alya kemudian mengakui pernah bertunang dengan lelaki tersebut namun hubungan itu putus pada Mac 2020.