Alonso puji semangat pemain Leverkusen

Alonso puji semangat pemain Leverkusen

Leverkusen: Pengurus Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, memuji semangat juang pasukannya selepas kemenangan bergaya 5-1 ke atas Freiburg, sambil menegaskan bahawa perlawanan itu lebih mencabar daripada apa yang ditunjukkan melalui keputusan.

Dalam aksi Bundesliga di laman sendiri itu, Leverkusen kelihatan tidak berdepan banyak masalah, dengan Patrik Schick mencuri tumpuan menerusi empat jaringan, manakala Florian Wirtz menambah satu lagi gol.

“Keputusan mungkin kelihatan hebat, dan Patrik menjaringkan empat gol, tetapi perlawanan ini tidak semudah yang disangka. Kami berdepan lawan yang bagus dan perlu merancang tindakan kami dengan bijak,” kata Alonso kepada media.

Beliau turut memuji aksi cemerlang Schick, sambil menekankan kejayaan itu adalah hasil usaha berpasukan.

“Apabila seorang penyerang menjaringkan empat gol, anda tidak boleh mengeluh. Patrik juga banyak bekerja tanpa bola, dan apabila dia melakukannya dengan baik, itulah sebabnya dia mampu menjaringkan gol,” jelas Alonso.

“Dia membantu pasukan, dan pasukan mencipta peluang untuknya.”

Kemenangan ini menyaksikan Leverkusen kekal di tangga kedua Bundesliga dengan 32 mata, empat mata di belakang pendahulu, Bayern Munich, yang membelasah RB Leipzig 5-1.

Ketika ditanya mengenai kepentingan kemenangan ini menjelang tahun baharu, Alonso menyifatkannya sebagai sesuatu yang sangat diperlukan.

“Ia adalah kemenangan yang sangat penting untuk kami hari ini. Kami mahu meneruskan momentum dan memasuki tempoh rehat dengan perasaan positif. Kami berjaya melakukannya. Kami akan terus menyerang pada tahun baharu,” katanya.

“Itu memberikan semua orang keyakinan. Kami mempunyai cita-cita besar untuk terus berjuang mencapai matlamat kami pada tahun 2025 dan ingin meraih kejayaan bersama.”

Leverkusen akan menyambung kempen mereka dengan menentang Borussia Dortmund pada 10 Januari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top