Berlin: Jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso perlu mengulangi ‘Keajaiban Istanbul’ ketika bersama Liverpool yang menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) 2005 bagi mengatasi cabaran Bayern Munich pada aksi peringkat kedua pusingan 16, awal pagi Rabu ini.
Alonso sebagai pemain tengah Liverpool ketika itu, menjaringkan gol penyamaan menentang AC Milan ketika The Reds bangkit daripada ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama untuk mengikat 3-3, sebelum memenangi perlawanan menerusi penentuan penalti.
Selepas kemenangan 3-0 Bayern di Munich, defisit tersebut adalah sama bagi Leverkusen dan Alonso menjelang perlawanan kedua.
Leverkusen, juara Jerman yang tidak pernah tewas kepada Bayern dalam enam perlawanan di bawah Alonso akhirnya kecundang di Munich minggu lalu, dengan Alonso merungut tentang kekalahan yang disebabkan oleh diri sendiri di mana pasukannya “memberi segala-galanya” kepada lawan mereka.
Masalah Leverkusen mungkin semakin teruk dengan kecederaan tonggak tengah Florian Wirtz, yang terpaksa keluar padang selepas diasak keras pada Sabtu dan bermain selama 14 minit.
Dengan final musim ini di Munich, Bayern lebih tertekan berbanding Leverkusen menjelang perlawanan pertama.
Tetapi selepas kesilapan penjaga gol, penalti yang tidak sepatutnya dan tandukan Harry Kane yang tidak dikawal, Bayern kini selangkah ke suku akhir.
Leverkusen tidak pernah mara ke suku akhir UCL sejak penampilan mereka di final pada 2002, di mana mereka tewas kepada Real Madrid yang diterajui Zinedine Zidane.
Sebagai pemenang UCL dua kali sebagai pemain, Alonso akui betapa besar cabaran menunggu pasukannya, tetapi beliau tahu dari pengalaman apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Selepas perlawanan ini, kami memerlukan sedikit masa lagi untuk pulih dan dalam bola sepak, kita sering melihat keajaiban besar dan kami memerlukannya,” katanya semalam.
“Inilah bola sepak, bukan kali pertama saya menghadapinya dan ada satu lagi perlawanan di rumah.”
© New Straits Times Press (M) Bhd