Allahyarham Koperal Mohd Azrul dipilih Tokoh Kemerdekaan Selangor

Allahyarham Koperal Mohd Azrul dipilih Tokoh Kemerdekaan Selangor

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Anggota polis Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban dalam peristiwa berdarah di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2013 dipilih sebagai Tokoh Kemerdekaan Negeri Selangor 2024.

Allahyarham diangkat sebagai tokoh kemerdekaan negeri atas sumbangan luar biasa dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari kepada ibu Allahyarham, Sadiah Mohd Amin pada sambutan Hari Kebangsaan ke 67 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam ini.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Rantau Panjang, Klang adalah seorang daripada enam anggota polis yang maut diserang hendap sekumpulan pengganas semasa menyertai Op Daulat bagi memerangi pengganas Sulu pada 2 Mac 2013.

Kakak Allahyarham, Azlin Tukiran, 43 berkata seluruh ahli keluarganya amat terharu serta bangga atas pengiktirafan berkenaan yang membuktikan pengorbanan adiknya dihargai oleh kerajaan negeri.

Katanya pemberian anugerah itu terus membangkitkan lagi rasa rindu terhadap Mohd Azrul yang lebih mesra dipanggil Ayun oleh ahli keluarganya.

Selain trofi, turut diserahkan adalah wang tunai RM10,000 sebagai penghargaan oleh kerajaan negeri terhadap jasanya kepada negara.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya menyeru supaya rakyat Selangor menghayati tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ dengan membebaskan minda daripada kejumudan dan sentiasa memperkuatkan kesepaduan antara kaum demi memastikan kedaulatan negara kekal terjamin.

Terdahulu, pada sambutan yang bermula jam 8 malam itu, dianggarkan 60,000 pengunjung membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top