Aliran trafik lebuh raya utama mulai sesak

Aliran trafik lebuh raya utama mulai sesak

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan mulai sesak pagi ini, berikutan orang ramai memulakan perjalanan pulang ke kampung menjelang sambutan Aidilfitri.

Setakat 9 pagi ini, tinjauan laluan menghala ke Pantai Timur, Utara dan Selatan mendapati trafik perlahan kerana jumlah kenderaan yang meningkat.

Berdasarkan kemas kini Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di laman X rasminya memaklumkan trafik perlahan menuju arah Timur di beberapa lokasi.

Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, trafik perlahan sebelum Plaza Tol Gombak, sepanjang plaza tol menuju Genting Sempah sehingga Bentong.

Keadaan sesak dilaporkan berlaku di LPT 1 dari Kilometer (KM) 13.3 hingga KM237.2 iaitu laluan Gambang-Jabur berikutan pertambahan trafik.

Kemas kini Plus menerusi laman X rasminya turut memaklumkan trafik perlahan arah Utara dan Selatan.

Trafik dilaporkan perlahan arah Utara dari Tapah ke Gopeng, manakala arah Selatan, aliran trafik perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dari Bandar Serenia ke Persimpangan Nilai (U).

Selain itu, Plus memaklumkan beberapa kejadian kemalangan yang mengakibatkan kesesakan di KM150.6 arah Utara dari Bukit Tambun (U) ke Juru; KM296.2 dari Gopeng ke Simpang Pulai.

Kemalangan juga dilaporkan berlaku di arah Selatan di KM293.6 dari Southville City ke Putra Mahkota; KM458.8 dari Sungai Buloh ke Bukit Lanjan; KM285.0 dari Putra Mahkota ke Bandar Baru Nilai dan KM114.1 dari Sungai Petani (S) ke Bertam.

Plus mengaktifkan ‘Smartlane’ di beberapa lokasi lebuh raya yang mengalami peningkatan trafik.

Terdahulu, LLM menjangkakan peningkatan jumlah trafik hingga 2.77 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Aidilfitri kali ini.

LLM menerusi kenyataan memaklumkan 2.158 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya PLUS, manakala 216,000 di Lebuhraya KL–Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 (156,000), LPT Fasa 2 (70,000) dan 174,000 di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat pada hari puncak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top