'Alhamdulillah, semua komen dan doa yang baik-baik'

'Alhamdulillah, semua komen dan doa yang baik-baik'

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemergian bekas Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi mencetuskan gelombang penghormatan yang luar biasa di platform media sosial, mencerminkan legasi kepimpinan beliau yang dihargai seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik dan generasi.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, pemerhatian pihaknya mendapati hampir semua komen yang ditinggalkan netizen di media sosial ketika pemergian Allahyarham sarat dengan ucapan terima kasih diiringi dengan doa atas jasa besar beliau kepada negara.

“Reaksi pengguna media sosial sangat positif, ia menggambarkan Tun Abdullah sebagai seorang pemimpin ulung yang dihormati bukan sahaja kerana jawatan yang pernah disandang, tetapi kerana pendekatan beliau yang sederhana, mesra rakyat dan inklusif.

“Aspek yang paling memberi kesan kepada rakyat dalam mengenang jasa Allahyarham adalah usaha beliau meningkatkan taraf guru agama khususnya melalui pengenalan Program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab, Fardu Ain) yang mula dilaksanakan di sekolah-sekolah pada tahun 2004.

“Allahyarham memberi sumbangan besar dalam pembangunan Islam menerusi gagasan Islam Hadhari yang memperjuangkan kemajuan umat Islam secara menyeluruh daripada aspek ekonomi, sosial hingga pendidikan tanpa mengabaikan asas syariah,” katanya.

Beliau berkata, pemergian tokoh negara itu menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang ideologi dan fahaman politik, suatu fenomena yang jarang berlaku dalam suasana politik semasa negara.

“Pemerhatian kami mendapati komen daripada penyokong pelbagai parti politik turut menyatakan rasa sedih dan penghormatan terhadap Tun Abdullah, ini membuktikan bahawa legasi beliau melangkaui kepartian dan diterima oleh semua pihak.

“Respons di media sosial kali ini turut memberi pendedahan kepada generasi muda termasuk generasi Z dan Alpha yang mungkin tidak sempat menyaksikan sendiri gaya kepimpinan Tun Abdullah ketika menjadi Perdana Menteri antara tahun 2003 hingga 2009.

“Melalui komen dan penghormatan ini, generasi baharu dapat mengetahui bahawa negara pernah dipimpin oleh seorang negarawan yang bersifat lembut, tegas dalam dasar dan menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Siraj berkata, pendekatan Islam Hadhari serta gaya kepimpinan berasaskan nilai oleh Allahyarham juga legasi yang patut dijadikan contoh oleh generasi kepimpinan masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top