Alhamdulillah… bomba, NGO bantu urus jenazah lelaki seberat 420kg

Alhamdulillah… bomba, NGO bantu urus jenazah lelaki seberat 420kg

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan tampil membantu menguruskan jenazah lelaki seberat 420 kilogram yang meninggal dunia di Pasir Hor, di sini, tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata, pihaknya bersedia menyediakan pengangkutan khas, termasuk lori lima tan dengan jengkaut hidraulik, selain khidmat tenaga anggota untuk mengangkat jenazah.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sudah ke rumah arwah Sheikh Mohd Ali Omar, 44, untuk berbincang dengan keluarga mengenai keperluan bantuan bagi tujuan pengebumian.

“Bomba biasa memberi bantuan khas seperti ini bagi kes pengurusan jenazah obesiti. Jika peralatan tidak mencukupi, kami akan menggunakan kekuatan anggota, dan seramai mana anggota yang diperlukan akan dikerahkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, kakak arwah, Hanoraziah Hassan, 60, berkata, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga tampil menawarkan bantuan untuk menguruskan jenazah adiknya.

“Alhamdulillah, urusan surat kematian sudah selesai dengan pengesahan polis. Kini, kami menguruskan pengebumian dengan bantuan penduduk kampung dan NGO yang menghubungi kami,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kebuntuan Hanoraziah untuk menguruskan jenazah adiknya yang meninggal dunia 12 tengah hari tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top