Doha: Carlos Alcaraz tersingkir di suku akhir Terbuka Qatar selepas tewas kepada Jiri Lehecka, dengan pemain Sepanyol itu turut pulang bersama pilihan kedua, Alex de Minaur.
Alcaraz, yang memenangi tujuh perlawanan berturut-turut selepas kejayaan di Rotterdam awal bulan ini, mendahului set penentuan selepas bangkit menyamakan kedudukan.
Namun, Lehecka yang berada di kedudukan nombor 25 dunia meraih kemenangan di empat permainan terakhir untuk menang 6-3, 3-6, 6-4.
Lehecka, yang memulakan tahun ini dengan meraih gelaran kedua kariernya di Brisbane, berkata, “Saya rasa hebat. Untuk menang dalam perlawanan seperti ini menentang pemain seperti Alcaraz adalah pencapaian yang sangat besar. Saya percaya pada diri saya dan tahu saya mempunyai tahap permainan untuk menghasilkan tenis seperti ini.”
Lehecka akan bertemu Jack Draper dari Britain awal pagi esok untuk merebut tempat di final.
Ini adalah kali kedua Lehecka mara ke separuh akhir di Doha.
Sementara itu, Andrey Rublev mara ke separuh akhir selepas menewaskan De Minaur 6-1, 3-6, 7-6 (10/8), selepas menggunakan lapan mata perlawanan untuk memastikan kemenangan.
Rublev, yang menjuarai Terbuka Qatar pada 2020, hampir kehilangan kelebihan 5-2 dalam set penentuan apabila De Minaur bangkit untuk memaksa aksi tiebreak.
Rublev mengakui bahawa perlawanan itu penuh dengan ketegangan dan emosional, tetapi dia berjaya mempertahankan kekuatannya.
“Apabila saya mendapat mata perlawanan pertama, saya bermain dengan sangat baik. Saya melakukan semuanya dengan hebat dan dia membuat rali yang luar biasa,” kata Rublev.
Ini adalah kemenangan pertama Rublev ke atas pemain 10 terbaik dunia sejak Ogos tahun lalu.
Rublev kini akan bertemu Felix Auger-Aliassime di separuh akhir selepas pemain Kanada itu mendahului perlawanan suku akhir menentang Daniil Medvedev 6-3 apabila Medvedev terpaksa menarik diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd