Albania akan wujudkan negara Islam berdaulat

Albania akan wujudkan negara Islam berdaulat

Tirana: Albania akan mewujudkan negara Islam yang berdaulat di ibu kota Tirana bagi memelihara dan menggalakkan toleransi dalam beragama.

Perdana Menteri Edi Rama berkata, jika rancangan itu terlaksana, ia akan menjadi negara terkecil dunia yang akan memiliki pentadbiran sendiri.

Katanya, negara itu tidak mengenakan cukai atau tidak dipantau polis, malah tidak akan mencabar kedaulatan Albania.

“Sejarah Bektashi dengan sendirinya adalah panggilan yang menarik untuk memberikan kedudukan suci Pusat Dunia Bektashi dengan status yang serupa dengan Vatican.

“Negara simbolik itu akan diwujudkan tanpa polis, tentera, cukai atau sifat-sifat lain, tetapi sebuah pusat Islam dan negeri kerohanian,” katanya semasa majlis memperingati ulang tahun ke-95 pemindahan tempat suci berkenaan dari Turkiye ke Albania.

Edi berkata, pada 2024, Albania merancang untuk mewujudkan sebuah negara di bahagian timur ibu kota negara itu sebagai pusat kerohanian bagi orang Bektashi yang tersebar di seluruh wilayah di Kosovo dan Macedonia Utara serta Albania.

Bagaimanapun, Edi tidak memberikan butiran lanjut mengenai tempoh masa dan parlimen Albania perlu mengesahkan rancangan itu.

Ditubuhkan semasa Empayar Uthmaniyyah pada abad ke-13 sebagai cabang tasawuf, Bektashi berpusat di Albania sejak 1929.

Mengikut bancian terakhir, kira-kira 10 peratus daripada penduduk Albania adalah Bektashi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top