Alami Klaustrofobia, Julia Farhana Imbau Pengalaman Ngeri Terperangkap Dalam Ruang Sempit – “Saya Tersekat Hampir 10 Minit”

Alami Klaustrofobia, Julia Farhana Imbau Pengalaman Ngeri Terperangkap Dalam Ruang Sempit – “Saya Tersekat Hampir 10 Minit”

Pelakon Julia Farhana mendedahkan bahawa dia pernah mengalami serangan klaustrofobia buat pertama kali ketika menjalani penggambaran sebuah drama pada tahun 2020.

Ketika ditemui XTRA, Julia atau nama sebenarnya Julia Farhana Marin, 31, berkongsi pengalaman mencemaskan itu yang berlaku sewaktu dia perlu melakonkan adegan dalam bonet kereta yang tertutup, menyebabkan dia berasa sesak nafas dan mula panik.

“Saya masuk ke dalam bonet kereta ikut arahan direktor, tetapi bila mereka tutup bonet semuanya jadi gelap. Dalam bonet tu ada saya dengan seorang jurukamera. Saya mula rasa sukar bernafas dan beritahu dia. Masa nak buka bonet tu, tiba=tiba mereka cakap tak boleh.

“Waktu itulah saya mula panik. Saya fikir ‘adakah saya akan mati dalam bonet kereta ini?’, rupanya bonet kereta itu terkunci. Bila dah boleh keluar badan saya terus jadi lemah,” katanya.

Julia berkata demikian ketika ditemui di acara Fiziwoo Raya25 Collection Iftar Soireé di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Insiden serupa berlaku sekali lagi ketika dia melakonkan watak sebagai anggota JPAM, yang memerlukannya memasuki ruang bawah tanah yang sempit.

“Walaupun memakai topeng oksigen, saya tetap berasa tak selesa. Namun, saya cuba bertahan kerana enggan menolak permintaan pengarah. Sebaik saja saya terjun ke dalam lubang yang sempit itu, saya terus kena serangan panik.

“Saya cuba kawal pernafasan tetapi badan saya mula rasa lemah. Semua berusaha nak tarik saya keluar tapi pakaian keselamatan saya pula tak boleh dibuka. Saya tersekat hampir 10 minit sebelum mereka berjaya keluarkan saya,” dedahnya.

Meskipun mengalami detik mencabar, Julia tetap komited dengan tugasnya dan meneruskan penggambaran selepas menerima tunjuk ajar daripada anggota JPAM tentang cara menangani ketakutan.

“Sejak saya tahu ada klaustrofobia, saya terus rawat diri sendiri. Saya belajar psikologi, jadi saya tahu trauma ini sebenarnya berpunca dari minda kita sendiri,” ujarnya.

Scroll to Top