Kuala Lumpur: “Muka saya nampak begitu kecewa kerana rakaman itu sudah sampai ke penghujungnya, tetapi tiba-tiba masa itu cicak nak berbunyi dan ‘backdrop’ jatuh,” kata Presiden Persatuan Kebajikan OKU Pendengaran (PKOPKS), Cr Azlina Mohamed Isa.
Video di sebalik tabir Azlina menjawab mengenai isu kekangan dihadapi pelajar berkeperluan khas ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dirakamnya untuk kegunaan sebuah stesen televisyen, tular sejak semalam.
Video itu meraih lebih setengah juta penonton selepas dikongsi anak ketiganya, Muhammad Azhari Hafiz Kamal Ariffin, 21, di Twitter.
Menceritakan semula proses rakaman itu, Azlina berkata, kandungan video itu dibantu anak bongsunya, Nurul Aiman Izzati Kamal Ariffin, 20, dan bermula pada 4.40 petang, 3 Februari lalu.
“Kami selesai ‘shooting’ dekat 7 malam bagi menghasilkan rakaman komentar berdurasi lima minit.
“Terpaksa buat sehabis baik sehingga berbelas kali ulang kerana ia akan digunakan untuk laporan berita,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, maksud ayat ‘ibu dah cantik…” di dalam video itu sebenarnya membawa maksud rakaman itu sudah hampir sempurna, tetapi tersasul kerana begitu kecewa apabila berlaku insiden tidak diingini itu.
“Masa saya salah buat bahasa isyarat, cicak dan ‘backdrop’ tidak jatuh pula. Apabila rakaman itu hampir sempurna, tiba-tiba pula ada masalah.
“Rakaman itu saya buat selepas mengajar kelas ‘online’ dan kerana itu, muka kelihatan letih,” katanya.
Menurutnya, masalah teknikal dan gangguan bunyi ketika penggambaran di rumah itu bukan lagi perkara luar biasa kerana turut dialami rata-rata pelajar, guru dan pekerja.
Katanya, selepas kejadian itu, dia cuba meletakkan diri sebagai pelajar berdepan cabaran PdPR seperti capaian Internet terhad dan tiada ruang belajar selesa di rumah.
“Kekangan ini pasti merumitkan dan berharap guru mahupun pensyarah lebih bertoleransi terhadap pelajar serta memahami dan menerima situasi PdPR dalam norma baharu.
“Pada masa sama, saya gembira mesej mengenai keterbatasan pembelajaran pelajar berkeperluan khas turut menjadi perhatian warganet.
“Alhamdulillah, pada awalnya saya menganggap video itu seperti membuka aib saya, tetapi jika difikir sebaliknya, sekurang-kurangnya ia membantu meningkatkan lagi kesedaran akan cabaran dihadapi guru dan pensyarah,” katanya.
Menurutnya, bukan senang mempersiapkan bahan kelas ‘online’, apatah lagi dia sudah berusia dan perlu memahirkan diri agar selari dengan perkembangan teknologi.
Sumber- Harian Metro
Malay News
Social Media Updates