Al-Nassr tersingkir Liga Juara-Juara Asia

Al-Nassr tersingkir Liga Juara-Juara Asia

Reaksi Ronaldo selepas pasukannya tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia. Foto AFP

Al-NASSR tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia di peringkat suku akhir selepas pasukan Liga Pro Saudi itu tewas 3-1 menerusi sepakan penalti kepada Al-Ain pada Selasa.

Al-Nassr berjaya menukar defisit perlawanan pertama 0-1 untuk menang 4-3 tetapi dengan pertandingan berakhir agregat 4-4, pemain perlu menghadapi penentuan sepakan yang mana Al-Ain berjaya memenangi perlawanan itu.

Pemain Al-Nassr, Miroslav Brozovic, Alex Telles dan Otavio semuanya gagal menjaringkan gol daripada sepakan penalti ketika pasukan dari Emiriah Arab Bersatu itu mara ke separuh akhir – akan menentang Al-Hilal atau Al-Ittihad.

Penjaga gol Al-Ain, Khalid Eisa, menebus persembahan yang mengecewakan apabila menyelamatkan sepakan penalti pembukaan Brozovic dan, dengan Soufiane Rahimi, Kaku dan Sultan Al Shamsi menyempurnakan penalti, kegagalan Otavio bermakna Al-Nassr tersingkir.

Penentuan sepakan penalti itu menamatkan aksi dramatik kepada pertembungan mendebarkan di Al-Awwal Park yang menampilkan tujuh gol dan kad merah, dengan Al-Ain mendahului pada 45 minit pertama perlawanan.

Rahimi, penjaring kemenangan perlawanan pertama Al-Ain, meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan gol pada minit ke-28 dan 45 tetapi jaringan Abdulrahman Ghareeb lima minit memasuki masa kecederaan menghidupkan harapan Al-Nassr.

Tendangan leret Otavio tertampam Khaled Eisa ke gawang sendiri enam minit selepas perlawanan dimulakan semula dan Alex Telles menyamakan kedudukan agregat 18 minit sebelum tamat dengan sepakan percuma.

Pemain Al-Nassr, Ayman Yahya dibuang padang kerana terjahan berbahaya terhadap Bandar Al-Ahbabi lapan minit pada masa tambahan dan seminit kemudian Al-Shamsi berasakan dia menjaringkan gol kemenangan apabila menggunakan kesempatan susulan kesilapan Raghid Najjar untuk merembat masuk.

Tetapi, Ronaldo menjaringkan gol dari sepakan penalti ketika berbaki dua minit, selepas penyerang Portugal itu dijatuhkan di kawasan itu oleh Saeed Jumaa, untuk membawa permainan ke penentuan sepakan penalti.

Ronaldo satu-satunya pemain Al-Nassr yang berjaya menjaringkan penalti daripada empat penentuan penalti Al-Nassr ketika Al-Ain mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2016.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Scroll to Top