Aku yang sudah lelah

Aku yang sudah lelah

SEBAHAGIAN kita sudah tidak seperti yang dahulu. Sudah mulai malas untuk beribadah, tidak seperti di awal-awal mulai insaf, di awal-awal baru berjinak dengan majlis-majlis ilmu, begitu bersemangat dengan semangat membara menuntut ilmu. Betapa bersemangatnya ke masjid untuk memenuhi saf pertama, tetapi dengan berjalannya waktu, ada perubahan. Sebahagian kita sudah mula rasa letih, lelah. Banyaknya fitnah dan godaan sehingga menjadikan ada di antara kita tidak sabar.

Apa yang harus dilakukan? Kembali kepada memahami al-Quran dan memahami sirah Rasulullah S.A.W, para Sahabat dan orang-orang yang soleh.

Rasulullah S.A.W mengatakan dalam sabdanya yang bermaksud:

Advertisement

“Sesungguhnya iman benar-benar boleh menjadi usang di dalam tubuh seseorang dari kalian sebagaimana usangnya pakaian. Maka memohonlah kepada Allah S.W.T supaya memperbarui iman di hati kalian!”

(Hadis Riwayat Hakim, At Thabarani, no. 14668, dari Sahabat Abdullah bin Amru, dinilai shahih oleh Albani dalam shahihul Jami’, no. 1590)

Ada masanya amalan itu, membara semangatnya dan ada masanya futur, layu. Hampir semua, pernah menempuhinya sebab iman itu memang ada naik dan turunnya.

Jadi, sentiasalah memohon dan meminta ketetapan iman dan tidak terpesong daripada jalan yang Allah S.W.T redai.

Imam al-Tirmizi meriwayatkan bahawa doa yang selalu dibacakan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

“Wahai Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.” Umi Salamah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: “Ya Rasulullah, mengapa tuan selalu berdoa seperti ini?” Baginda menjawab: “Wahai Umi Salamah, setiap hati anak Adam berada di antara dua jari jemari Allah S.W.T. Jika Allah S.W.T kehendaki, Dia akan menjadikannya lurus. Dan jika Dia kehendaki maka Dia akan menjadikannya condong kepada kesesatan.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Rasulullah S.A.W di dalam perjuangannya menegakkan agama Allah S.W.T, Beliau dimaki, di pulau, dituduh, dihina dengan pelbagai tuduhan seperti gila, tukang sihir, penyair dan sebagainya. 

Rasulullah S.A.W memanjatkan doa dan rintihan hati yang sedih dan dukacita Baginda yang masyhur kepada Allah S.W.T, Tuhan Yang Maha Mendengar. Jadi jangan pernah berputus asa daripada Rahmat Allah S.W.T dalam hidup ini sama ada di ketika suka dan duka.

Dengari, rintihan Nabi S.A.W kepada Tuhannya. Peristiwa ini, ketika Rasulullah S.A.W berehat di kebun milik ‘Utbah bin Rabi’ah sekembali dari Thaif. Kedua kaki Baginda basah dengan darah, dilempari batu oleh penduduk Thaif. Di wajah Baginda tergambar kesedihan yang mendalam yang bermaksud:

“Ya Allah kepada-Mu aku mengadu lemahnya kekuatanku, sempitnya upayaku, dan hinanya aku di mata manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada semua Pengasih, Engkaulah Tuhan bagi golongan yang lemah, Engkaulah tuhanku. Kepada siapa lagi Engkau akan serahkan diriku? Adakah kepada orang yang jauh yang bermuka bengis denganku? Atau kepada musuh yang akan menguasaiku? Jika Engkau tidak memurkaiku, aku tidak peduli. Tetapi kemaafan-Mu terlalu luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya zat-Mu yang menerangi segala kegelapan, dan kerananyalah semua urusan dunia dan akhirat akan menjadi baik, daripada turunnya kemurkaan-Mu kepadaku atau berlakunya kemurkaan-Mu kepadaku. Hanya kepada-Mu aku kembali, dan mudah-mudahan Engkau reda. Tiada upaya dan kekuatan, kecuali dengan-Mu.”

Allah S.W.T tahu betapa sempitnya dada Rasulullah S.A.W dikeranakan oleh perbuatan kaumnya. Bagaimana tidak!, Baginda mengajak mereka kepada Allah S.W.T, menyeru mereka pada segala kenikmatan iaitu ke syurga Allah S.W.T. Tetapi ajakkan Rasulullah S.A.W ditolak malah dilempari batu dan dengan ucapan-ucapan yang menyakitkan. Sedangkan sebelum kedatangan Islam, Rasulullah S.A.W, seorang manusia yang dipuji dan disanjung di mana-mana sahaja sehingga digelar ‘al-amin.’ 

Jadi, apakah Rasulullah S.A.W, kena memberhentikan dakwah Beliau? Seperti yang pernah terjadi kepada Nabi Yunus A.S, ketika Beliau meninggalkan kaumnya. Tidak! 

Allah S.W.T memujuk hati kekasih-Nya, sehingga Allah S.W.T mengatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin (mati).”

(Al-Hijr : 97-99)

Jadi, selama masih hidup, bererti kita mesti terus beriman, taat dan beribadah kepada Allah S.W.T, walau dalam situasi apa sahaja, ketika teruji dan sebagainya. Sampai bila? Sampai datang kematian kepada kita.

Apabila kita sudah merasa lelah, letih dan penat, bukalah al-Quran dan bacalah. Kita perlu membaca sirah Rasulullah S.A.W dan para Sahabat Rasulullah S.A.W dan orang-orang yang soleh. Kita terus berjalan walaupun berat dan jangan pernah undur ke belakang. Jangan pernah kembali ke masa kelam kita tetapi terus menuju ke jalan keredaan Allah S.W.T. 

Bagaimana keadaan para Sahabat Nabi S.A.W, ketika mereka baru masuk Islam? Sebahagian mereka diseksa oleh majikan dan kaumnya. Bilal bin Rabah disiksa oleh majikannya. Keluarga Yassir diseksa sehingga dia dan isterinya Sumayyah syahid. Kaab disalai di atas bara api. Saad bin Abi Waqqas teruji oleh sikap ibunya dan macam-macam lagi penanggungan Sahabat Rasulullah S.A.W.

Kata Ibnu Qayyim, “Kenikmatan tidak boleh diraih dengan kenikmatan, barangsiapa yang memilih hidup santai, istirehat, maka dia akan kehilangan waktu rehat yang sebenarnya.”

Lihatlah Sahabat Nabi S.A.W, Saad bin Abi Waqqas, bagaimana tercabarnya dia, di ketika, ibunya mengetahui mengenai keislamannya.  Beliau masuk Islam Ketika berumur 17 tahun. Masih muda. Kebanyakan pengikut Nabi S.A.W itu daripada anak-anak muda. 

Lalu ibunya bersumpah mogok lapar. Ibunya mengatakan kepada Saad, “Ya Saad, agamamu menyuruh berbakti dengan orang tuamu, jadi aku menyuruhmu meninggalkan agamamu, kalau tidak, aku akan berhenti makan sampai mati atau engkau keluar dari agamamu. Engkau akan dicela oleh masyarakat, bahawa kamu seorang anak, yang membunuh ibunya sendiri.” 

Ibunya benar-benar mogok berhenti makan sehingga keadaan ibunya kritikal. Saad memujuk ibunya, tetapi ibunya masih berdegil. Setelah lelah menghadapi situasi itu, Saad berkata kepada ibunya, “Wahai ibuku, kalau engkau memiliki 100 nyawa, kemudian nyawamu satu persatu keluar, aku tidak akan meninggalkan agama Muhammad S.A.W. Terserahlah kepadamu wahai ibuku, kalau kamu hendak makan, silakan dan kalau kamu tidak hendak makan, pun silakan.” 

Akhirnya, ibunya makan. Kerana dilihatnya, anaknya tidak boleh di ancam dan diugut. Ujian beginilah, yang menjadikan pejuang Islam, menjadi lemah, letih. penat, di saat ujian itu datang dari orang yang terdekat dengannya, bukan daripada orang lain. Tetapi kita mesti berjuang, mempertahankan iman atau keyakinan kita, walau pelbagai mehnah dan fitnah di jalanan ini, sama ada daripada keluarga atau orang luar.

Dan lihat pula kisah hijrah Rasulullah S.A.W. Kenapa Allah S.W.T tidak hijrahkan Nabi S.A.W hanya dengan menaiki Buraq, seperti dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj Nabi S.A.W? Tetapi ingatlah! Kenikmatan tidak boleh diraih dengan kenikmatan. Kenikmatan mesti diraih dengan perjuangan dan pengorbanan.

Rasulullah S.A.W dan Sahabatnya, Abu Bakar as-Siddiq R.A, bermalam di Gua Thur selama tiga malam, sedang pembesar Makkah telah mengiklankan, sesiapa yang dapat membunuh Muhammad akan dihadiahi dengan 100 ekor unta. Perjuangan Rasulullah S.A.W semakin berat dan melelahkan. 

Sebelum ini, Rasulullah S.A.W berdakwah di Taif, Baginda dilempari dengan batu-batu. Dan Rasulullah S.A.W sendiri telah memerintahkan, para Sahabatnya, hijrah ke Habashah dan Madinah. Mereka hijrah dengan meninggalkan keluarga, pekerjaan, harta kekayaan dan kampung halaman demi melaksanakan perintah Allah S.W.T dan menyelamatkan iman mereka. 

Abdul Rahman bin Auf, meninggalkan semua hartanya di Makkah. Setiba di Madinah, Rasulullah S.A.W mempersaudarakannya dengan Saad bin Rabiq. Persaudaraan itu dengan harapan golongan Ansar dapat menolong saudara Muhajirin yang berhijrah tanpa harta dan keluarga.

Apabila Saad bin Rabiq melihatkan saudaranya, Abdul Rahman tidak memiliki satu harta pun, lantas beliau berkata, “Wahai saudaraku, aku orang Madinah yang banyak harta. Aku mempunyai dua kebun dan aku juga mempunyai dua orang isteri. Maka engkau lihatlah pada kebunku yang mana satu engkau inginkan. Pilihlah. Akanku berikan kepadamu. Juga pilihlah yang mana satu daripada isteriku yang engkau mahukan. Akan aku ceraikan salah seorang daripada mereka, untuk kamu.”

Maka Abdul Rahman berkata kepada saudaranya itu: “Mudah-mudahan Allah S.W.T memberkati engkau pada hartamu dan ahli keluargamu.”

Abdul Rahman tidak mahu memilih jalan mudah dengan mengambil pemberian dan pelawaan saudaranya itu, bahkan beliau ingin berjaya atas hasil usahanya sendiri. Beliau meminta ditunjukkan pasar dan berniaga secara kecil-kecilan dan akhirnya menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

Rasulullah S.A.W, Ketika di Makkah pernah diboikot tanpa diberikan makanan sehingga terpaksa memakan dedaunan liar kerana kelaparan. Ianya berlangsung selama tiga tahun, dari bulan Muharram tahun ke-7 kenabian sehingga bulan Muharram tahun ke-10 kenabian.

Peristiwa perang Badar, antara kaum Muslimin Madinah dan kaum kafir Quraisy Makkah. Apa yang terjadi di Perang Badar? Berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Pasukan Islam hanya seramai 313 orang yang tidak lengkap persenjataannya. Bahkan, hanya membawa dua ekor kuda dan beberapa ekor unta yang ditunggang secara bergilir, disebabkan tujuan asal mereka bukanlah untuk berperang. Mereka berganti-gantian naik untanya. Sahabat minta Rasulullah S.A.W yang naik unta dan mereka berjalan, tetapi Nabi berkata yang bermaksud, “Kamu tidak lebih kuat dari aku dan aku juga mahukan pahala.” 

Sebaliknya, pasukan musuh, lebih besar jumlahnya serta lengkap dengan senjata peperangan, seperti pasukan berkuda, berunta dan pasukan pemanah. Kekuatannya berjumlah 1,000 orang anggota yang lengkap dengan senjata dan pakaian perang pada zaman itu seperti baju rantai besi dan perisai.

Sewaktu berlakunya peperangan, Rasulullah S.A.W berdoa kepada Allah S.W.T dan akhirnya, pasukan Islam menang di dalam peperangan ini:

اللَّهمّ ‌إنْ ‌تَهْلِكْ ‌هَذِهِ ‌الْعِصَابَةُ الْيَوْمَ لَا تُعْبَدْ.

“Ya Allah! Sekiranya binasa pasukan yang kecil ini, nescaya tidak akan ada lagi yang beribadat kepada-Mu.”

(Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, ms. 627)

Pada pagi Sabtu 15 Syawal, tahun ke-3, terjadi perang Uhud. 700 tentera Islam termasuk 4 penunggang kuda dan 50 pemanah, di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W melawan 3,000 tentera kafir Quraisy termasuk 700 kambing, 200 kuda, 300 unta, di bawah pimpinan Abu Sufyan. 

Umat Islam sempat menang pada pusingan pertama. Tetapi gara-gara, tidak mentaati perintah Nabi S.A.W, jangan turun dari Jabal ‘Aynayn dan lebih dikenali sekarang dengan Jabal a-Rumah, bukit pemanah dalam keadaan apa pun. Setelah menang, 35 orang turun, mengingkari perintah Nabi S.A.W, membiarkan Nabi S.A.W dan tentera Islam terdedah dengan serangan musuh dan bermulalah kekalahan umat Islam. 

Perang Uhud berakhir dengan hampir 70 orang Sahabat Rasulullah S.A.W, mati syahid, termasuk Musab bin Umayr dan Hamza bin Abdul Muttalib. Rasulullah S.A.W  berdarah pipinya tercucuk dua gelang besi yang tajam, giginya patah, bibir bawah dan keningnya terluka. Di sini, kita diingatkan bahawa Nabi S.A.W juga berjuang untuk mendapatkan syurga Allah S.W.T. 

Apakah kita ingin santai? 

Tersebarlah berita kekalahan tentera Islam di Uhud. Ada seorang tua, wanita Ansor, walaupun semua keluarganya terbunuh tetapi yang ditanyai, apa khabar Rasulullah S.A.W? Dan dia ingin melihat sendiri keadaan Rasulullah S.A.W, baru dia rasa tenang.

Pada tahun ke-5 terjadi pembunuhan 70 orang penghafal al-Quran dalam misi dakwah dan untuk mengajarkan al-Quran dan hukum Islam, di tempat bernama, Bi’r Ma’unah dan hanya seorang yang pura-pura mati. Setiba di Bi’r Ma’unah, diutuskan Haram bin Milhan menyampaikan surat Rasulullah S.A.W kepada musuh Allah S.W.T, Amir bin Ath Thufail. 

Kedatangan Haram disambut dengan tusukan tombak tajam hingga menembusi dadanya yang dipenuhi dengan Kalamullah, al-Quran. Melihat darah segar itu, bukan kesedihan yang tergambar di wajahnya tetapi kebahagiaan dan langsung, beliau berkata, “اللهُ أَكْبَرُ فُزْتُ وَرَبِّ الْكَعْبَتِ

“Allahu Akbar, Aku telah beruntung, Demi Rabb Ka’bah.”

Beliau bangga dengan kematiannya sehingga musuh merasa pelik, mesti ada sesuatu yang istimewa kepada agama ini.

Berita kematian ini sangat mendukacitakan hati Rasulullah S.A.W. Tetapi perjuangan mesti diteruskan. 

Sepuluh Sahabat Nabi S.A.W yang dihantar ke Makkah juga, dibunuh semuanya. Tragedi ini berlaku apabila mereka memohon daripada Baginda S.A.W supaya menghantar kepada mereka beberapa pengajar al-Quran dan hukum Islam kerana ada di kalangan mereka yang ingin mempelajari Islam. Mengikut Riwayat Al Bukhari, Baginda S.A.W menghantar 10 orang Sahabat yang diketuai oleh `Asim bin Thabit.

Apabila mereka tiba di satu tempat bernama Huzail di wilayah Raji`, tiba-tiba para Sahabat dikepung oleh bala tentera yang lengkap bersenjata dan diminta untuk menyerah diri. Namun para Sahabat mengambil keputusan untuk melawan hingga kesemuanya gugur syahid kecuali tiga Sahabat iaitu Zaid bin Abi Dasinah, Khubaib bin ‘Adi dan Abdullah bin Thariq. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga Sahabat yang ditawan tadi juga dibunuh dalam keadaan yang berasingan.

Luka dan duka ummah Islam semakin dalam!

Pada bulan Syawal Tahun ke-5 Hijrah berlaku perang Ahzab atau Khandaq, yang akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Kafir Quraisy membawa 10,000 – 15,000 tentera ke Madinah, gabungan dari orang-orang Quraisy, Ghathafan dan Yahudi dari Bani Nadhir. Tentera Islam cuma ada 3,300 lebih sahaja yang boleh mengangkat senjata yang akhirnya mereka membuat parit dan berlakulah perang Khandak. 

Perang Ahzab atau Khandak, satu strategi perang, yang benar-benar menuntut kekuatan keimanan, solidariti, keikhlasan, kebijaksanaan dan kesabaran yang maksimum, sehingga Nabi S.A.W dan para Sahabat mengikat batu di perut mereka kerana menahan lapar dan fokus pada penggalian. 

Adapun panjang parit itu mencapai 5.544 meter. Sedangkan lebarnya mencapai 4.62 meter dengan kedalaman mencapai 3.234 meter. Waktu menggali parit tersebut memakan masa selama 6 hari dan ada pula yang mengatakan selama 9 hari. 

Nabi dan Sahabat-sahabat terus diuji walaupun sudah 13 tahun Nabi di Makkah, keletihan berhadapan dengan pelbagai peristiwa-peristiwa yang menyakitkan dan penyeksaan yang  harus mereka lalui. Mereka benar-benar terus diuji hingga ke titik terakhir kerana barang yang Allah S.W.T hendak berikan, mahal iaitu syurga. 

Apa kata mereka?

“Inilah yang dijanjikan Allah S.W.T!” 

Apa janji itu? 

Janji Allah S.W.T di dalam Surah al-Baqarah ayat 214. 

Allah S.W.T berfirman kepada Sahabat-sahabat Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

(al-Baqarah: 214)

Pada bulan Zulkaedah Tahun ke-6 Hijrah, Rasulullah S.A.W membawa 1,400 orang Sahabat untuk menunaikan umrah tetapi tidak boleh masuk ke kota Makkah untuk berumrah. Akhirnya berlaku perjanjian Hudaibiyah, antara orang Islam diwakili oleh Rasulullah S.A.W dan kafir Quraisy yang diwakili oleh Suhayl bin ‘Amru. Orang Islam balik ke Madinah tanpa boleh menunaikan umrah pada tahun itu tetapi kembali semula pada tahun ke-7 Hijrah.

Pada tahun ke-8 Hijrah, Makkah ditakluki. Alhamdulillah, Makkah menjadi negara Islam.

Islam terus diuji. 

Pada bulan  Syawal tahun ke-8 Hijrah, beberapa hari selepas pembukaan Kota Makkah, tentera Islam berangkat ke Hunain, berdekatan Thaif dengan 10,000 tentera berasal dari penduduk Madinah dan 2,000 penduduk Makkah. Ternyata ada Sahabat berkata, “Hari ini kita tidak akan dikalahkan.” Kerana ramainya jumlah mereka.

Apa kata Allah S.W.T menegur sikap Sahabat tersebut?

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

(al-Baqarah : 25)

Ketika dalam peperangan, oleh kerana ketakjuban umat Islam dengan ramainya jumlah mereka, mereka diserang bertubi-tubi sehingga mencederakan Rasulullah S.A.W. Tersebar berita angin di kalangan orang Islam bahawa Baginda S.A.W telah terbunuh. Kebanyakan mereka mencampakkan senjata kerana berputus asa dan lari. Namun, ada sekumpulan Muhajirin dan Ansar yang masih tetap berjuang di sekeliling Baginda. Al-Abbas (beliau seorang yang bersuara lantang) menyeru orang Islam: “Rasulullah masih hidup.” Lalu orang Islam yang lari berpatah balik kepada Baginda. 

Ketika tentera Islam mahu mengejar tentera musuh yang sedang berundur. Melihat perkara ini lalu Rasulullah S.A.W meminta agar Khalid bin Walid selaku panglima perang supaya tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan mereka yang lemah. Akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan yang gemilang bukannya kerana jumlah tentera yang ramai tetapi kerana keyakinan dan juga keikhlasan kepada Allah S.W.T sehingga Allah S.W.T mendatangkan pertolongan dan kemenangan.

Bagaimana pula dengan Rasulullah S.A.W? Setelah melalui semua mehnah dan tribulasi dalam perjuangan menegakkan Islam itu, ibadah Nabi S.A.W bertambah kerana ada iman yang perlu disyukurinya. Beliau solat, sehingga bengkak kakinya. Sehingga Aisyah berkata kepada Rasulullah S.A.W, “Mengapa Engkau bersungguh-sungguh mengerjakan solat sehingga bengkak kaki, sedangkan Allah S.W.T telah mengampunkan dosa-dosamu yang lalu dan yang akan datang?” Baginda menjawab: “Kerana Aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur kepada Tuhannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di akhir hayat Nabi, turun firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),”

“Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai,”

“Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”

(An-Nasr : 1-3)

Sehingga akhir hayat Rasulullah S.A.W, Allah S.W.T sentiasa mengingatkan kekasih-Nya, Nabi S.A.W agar bertasbih dan beristighfar, tiada pernah berhenti beribadah dan mengingati Allah S.W.T. 

Sebelum 12 Rabiulawwal tahun ke-11 Hijrah, Nabi S.A.W, menghadapi sakit kepala yang berat. Beliau sakit selama,14 hari dan pada empat hari terakhir, Baginda bertambah tenat dan tidak mampu berjemaah di masjid. Pernah seorang Sahabat menziarahi Nabi S.A.W dan merasakan selimut Beliau, panas dan mengatakan, ‘sakitmu sangat berat’ dan dijawab oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Sakit aku ini untuk dua orang.” 

Kenapa begitu teruji kehidupan Nabi S.A.W? Kerana untuk melayakkannya duduk di tempat tertinggi di sisi Allah S.W.T.

Kesimpulan

Jika hendak mendapat darjat tertinggi di sisi Allah S.W.T, jangan pernah berhenti berjalan di atas jalan-Nya, biar letih, lelah dan penat. Kita minta kepada Allah S.W.T untuk berikan kita kekuatan, pertolongan, keampunan dan syurga-Nya. 

Kita sekarang berada di bulan Rejab, jangan biarkannya berlalu begitu sahaja. Bulan ini salah satu bulan haram yang diganjari dengan pahala dan dosa berganda, untuk kebaikan dan dosa yang dilakukan. Mudah-mudahan, Allah S.W.T akan temukan kita dengan bulan Syaaban dan Ramadan.

Jangan pernah berasa lelah dalam memperbanyakkan amalan-amalan sunnah, seperti membaca al-Quran, berpuasa sunat, solat sunat, menghubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang kita cintai, belajar ilmu agama, bersedekah, berdakwah, memperjuangkan tertegaknya kalimah Allah S.W.T dan lain-lainnya.

Dan akhirnya, jika ada yang bertanya, ‘mengapa perjuangan itu pahit dan melelahkan? Jadi jawablah dengan dengan penuh rasa kehambaan, ‘kerana syurga itu manis.’

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 29/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.