Aktiviti jenayah siber di Telegram naik 53 peratus

Aktiviti jenayah siber di Telegram naik 53 peratus
Aktiviti jenayah siber di Telegram naik 53 peratus

Kuala Lumpur: Aktiviti jenayah siber di Telegram meningkat sebanyak 53 peratus pada Mei hingga Jun 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut data Perisikan Jejak Digital Kaspersky.

“Penjenayah siber secara aktif mengendalikan saluran dan kumpulan di Telegram khusus untuk membincangkan skim penipuan, mengedarkan pangkalan data yang bocor dan berdagang dalam pelbagai perkhidmatan jenayah seperti menunaikan wang, memalsukan dokumen, menyediakan perkhidmatan serangan Penafian Perkhidmatan Teragih (DDoS),” kata Kaspersky kata dalam satu kenyataan hari ini.

Serangan DDoS adalah serangan terhadap rangkaian komputer, ia terjadi disebabkan sistem rangkaian komputer sesebuah organisasi atau syarikat telah dijangkiti Trojan, sejenis perisian hasad (malware) yang menyamar kewujudannya sebagai salah satu sistem pengendalian yang sah seperti sistem urus niaga bank, aplikasi perkhidmatan dan lain-lain.

Penganalisis Perisikan Jejak Digital Kaspersky Alexey Bannikov berkata minat yang semakin meningkat dalam Telegram daripada komuniti penjenayah siber kebanyakannya disebabkan oleh perkhidmatan ‘messenger’ (perkhidmatan pemesejan) yang sangat popular sehingga mencapai 900 juta pengguna sebulan.

“Kedua, ia dipasarkan sebagai perkhidmatan pemesejan paling selamat dan bebas yang tidak mengumpul sebarang data pengguna, justeru ‘threat actors’ (pelaku serangan siber) menganggap ia adalah selamat dan tidak akan dikenakan sebarang hukuman.

“Selain itu, mencari atau menubuhkan komuniti di Telegram adalah mudah dan pelbagai faktor lain, membolehkan pelbagai saluran dalam Telegram termasuk milik penjenayah siber, mengumpulkan pengikut dengan cepat,” katanya.

Bannikov berkata terdapat satu lagi trend iaitu Telegram telah muncul sebagai platform oleh penggodam untuk membuat kenyataan dan meluahkan pandangan mereka.”

“Disebabkan pangkalan penggunanya yang luas dan pengedaran kandungan pantas melalui saluran Telegram, penggodam mendapati platform itu sebagai alat mudah untuk melakukan DDoS dan kaedah gangguan lain terhadap infrastruktur disasarkan.

“Selain itu, mereka boleh mengeluarkan data yang dicuri daripada organisasi diserang ke dalam domain awam menggunakan saluran bayangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd