Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan – Azam Baki

Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan – Azam Baki

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penggubalan Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan dengan memfokuskan kepada pendanaan ketika kempen pilihan raya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan itu sudah diutarakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Pada pendapat saya undang-undang ini sangat ideal ketika ini memandangkan beberapa siri pilihan raya akan bermula tidak lama lagi.

“Saya beritahu kepada Datuk Seri Azalina (Othman Said), elok untuk mula dengan kecil. Mula dengan projek permulaan. Di Malaysia kita ada Pilihan Raya Umum (PRU) setiap lima tahun dan banyak Pilihan Raya Kecil (PRK). Mulakan dengan ini dulu.

“PRU juga hanya dua tahun setengah lagi. Elok undang-undang itu dibahaskan sekarang, dibawa ke Parlimen. Ketika ini, setakat saya tahu, undang-undang pendanaan politik ini tersekat di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya dalam dalam program Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan secara langsung Astro Awani, hari ini.

Azam berkata, sebagai penjawat awam beliau turut mempunyai persepsi berbeza dan persoalan kenapa undang-undang ini lambat.

“Saya tidak tahu apa masalahnya. Apabila masih tersekat dengan pelbagai perbincangan, saya sebagai pegawai kerajaan dan penguatkuasaan ada pula timbul persepsi lain. Kenapa lambat?

“Draf Rang Undang-undang (RUU) berkenaan adalah komprehensif dan ia memerlukan penguatkuasaan secara bertahap dengan mengambil masa yang lebih lama.

“Contohnya, setiap pemberian sumbangan dan dana kepada parti politik perlu dilaporkan. Saya hendak beritahu, parti politik dalam negara kita di setiap cawangan dan bahagian ada akaun (bank) mereka sendiri,” katanya.

Beliau memberi cadangan itu sebagai sebahagian langkah penambahbaikan untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Sebelum ini, Transparency International menerbitkan laporan CPI 2024 dan mengekalkan skor Malaysia sebanyak 50 mata seperti tahun sebelumnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top