sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Aksi Sri Pahang FC berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini, akan menjadi penanda aras bagi menilai prestasi skuad itu menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia.
Penjaga gol skuad Tok Gajah, Zarif Irfan Hashimuddin berkata, perlawanan itu diharap membantu mempertingkatkan lagi prestasi sebelum berdepan Sabah FC bagi saingan Piala Malaysia pada 18 Januari dan 2 Februari depan.
“Bagi saya, berdepan NSFS adalah peluang terbaik Sri Pahang untuk menilai tahap persediaan dan memperbaiki kelemahan kerana misi kami untuk layak beraksi di pentas final piala berprestij itu.
“Dengan pencapaian ini (separuh akhir), kami perlu lebih bagus dan tidak sesekali melakukan kesilapan mudah seperti dipersembahkan ketika seri 3-3 berdepan Perak pada suku akhir kedua piala itu.
“Saya harap kami akan membentuk kerjasama lebih baik dan pada masa sama mempamerkan semangat berpasukan tinggi untuk menghalang Sabah pada separuh akhir nanti,” kata penjaga gol berusia 29 tahun itu.
Ditanya aksi Liga Super berdepan SFC Jumaat ini, Zarif Irfan berkata, tiga mata tetap menjadi matlamat utama pasukan sekali gus membantu skuad Tok Gajah melonjakkan kedudukan dalam liga.
Katanya, ini kerana kemenangan itu juga akan membantu kerana skuad Tok Gajah kini mengutip 15 mata daripada 14 perlawanan.
“Oleh itu, saya dan rakan sepasukan akan berusaha untuk memastikan kunjungan ke Paroi berakhir dengan membawa pulang tiga mata dan motivasi buat kami apabila berdepan Sabah nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd