Aksi Inter Miami ditunda, ribut salji ganggu perlawanan

Aksi Inter Miami ditunda, ribut salji ganggu perlawanan

Kansas City: Perlawanan Piala Juara-Juara Concacaf antara Inter Miami dan Sporting Kansas City yang sepatutnya berlangsung esok terpaksa ditunda akibat cuaca buruk, termasuk salji lebat, menurut badan induk bola sepak Amerika Utara itu.

Aksi yang dijadualkan di Children’s Mercy Park itu kini akan berlangsung pada Khamis, sekali gus menangguhkan penampilan pertama Javier Mascherano dalam kejohanan kelab benua berkenaan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran ribut musim sejuk untuk kawasan terbabit, meliputi timur dan timur laut Kansas serta bahagian tengah dan barat Missouri.

“Keputusan untuk menunda perlawanan dibuat bagi memastikan keselamatan pemain dan penyokong, selepas berbincang dengan kedua-dua kelab serta pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan rasmi Concacaf.

Selain itu, penangguhan turut diputuskan berikutan kebimbangan terhadap lapisan salji yang boleh terkumpul di atas padang, sekali gus menjejaskan kualiti permainan.

Perlawanan timbal balik dijadualkan berlangsung pada 26 Februari di Stadium Chase, Miami, dengan pemenang bakal berdepan kelab Jamaica, Cavalier, dalam pusingan 16 terbaik.

Kejohanan ini sebelum ini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Concacaf dan juga saingan kelab tertinggi bagi pasukan dari Amerika Utara, Amerika Tengah, dan Caribbean.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top