Akinade kian berselera buru gol

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Selepas meledak dua gol ketika membantu Terengganu FC (TFC) membelasah Sabah FC 4-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA, Jumaay lalu, Ismaheel Akinade kian bernafsu untuk buru gol seterusnya.

Tegas penggempur kelahiran Nigeria itu, dua jaringan itu begitu berharga selain memberi keyakinan kepadanya untuk membuktikan kemampuan sebenar biarpun sebelum ini dikritik peminat sendiri berikutan prestasi hambar.

Penyerang berketinggian 1.90 meter itu berkata, kerjasama rakan sepasukan selain usaha tanpa mengenal erti penat lelah menjadi kunci kejayaan pasukannya selain taktikal diterapkan jurulatih.

“Alhamdulillah rezeki saya berjaya menjaringkan dua gol ketika menumpaskan Sabah FC 4-0 minggu lalu, terima kasih atas kerjasama rakan sepasukan selain kepercayaan barisan kejurulatihan.

“Sebagai penyerang, saya tidak pernah berasa puas untuk menjaringkan gol, ini tugas saya, jadi sekali lagi berdepan Sabah FC pada Sabtu ini, semangat untuk menjaringkan gol kian tinggi.

“Jika berpeluang, saya tekad untuk tambah bilangan gol peribadi dan pasukan selain membantu rakan di posisi pertahanan lebih-lebih lagi lawan pastinya bakal mengamalkan corak permainan menyerang untuk mencari gol awal,” katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya sama ada kemenangan besar itu memberi jaminan buat pasukannya untuk melangkah ke separuh akhir, bekas penyerang Kelantan United FC (KUFC) musim lalu itu menjelaskan dalam bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Di atas kertas, kelebihan sudah pasti memihak kepada kami, tapi dalam bola sepak apa-apapun boleh terjadi lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan dengan sokongan padu daripada penyokong mereka.

“Tapi saya percaya dengan taktikal jurulatih kami kerana misi kami adalah layak ke separuh akhir terlebih dahulu sebelum mengintai peluang ke final,” ujar Akinade.

Pada aksi Jumaat lalu, Akinade menjaringkan gol kedua dan keempat TFC manakala dua gol lagi dijaringkan Manuel Ott dan Marin Pilj.

© New Straits Times Press (M) Bhd