Akibat terkunci dalam but kereta

Akibat terkunci dalam but kereta

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Akibat terkunci dalam but belakang kereta ketika menjalani penggambaran lima tahun lalu, pelakon, Julia Farhana Marin, 31, mendedahkan dia mengalami masalah klaustrofobia dan trauma berada di tempat sempit.

Julia ketika ditemui berkata, dia sama sekali tidak menyangka masalah itu tidak pernah hilang dan kembali menyerang semula baru-baru ini ketika melakonkan watak penyelamat.

“Kali pertama saya mengalami masalah klaustrofobia ketika berlakon drama Salon arahan Kabir Bhatia, lima tahun lalu. Ketika itu, saya ada babak masuk dalam but belakang kereta bersama jurukamera dan tiba-tiba terkunci.

“Mula-mula, saya tak panik pun ketika terkunci itu. Tapi bila dari luar terdengar yang kru kata ‘stuck’ tak boleh buka, terus saya terfikir apakah akan mati dengan jurukamera dalam but itu?,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Julia yang sering melakonkan watak aksi, dia sendiri tidak pasti kenapa secara tiba-tiba dirinya mengalami masalah klaustrofobia yang menyebabkan dia kini trauma berada di tempat sempit.

“Baru-baru ini pula, masalah itu menyerang lagi kali kedua ketika melakonkan watak penyelamat. Saya ada babak masuk ke dalam terowong bawah tanah untuk aktiviti menyelamat mangsa.

“Ketika itu, saya dah tengok ruang dalam terowong yang kecil. Kena masuk pula dengan bawa tong oksigen berserta pakaian keselamatan lengkap yang beratnya boleh dianggar 20 kilogram (kg).

“Tak apalah, saya cabar juga diri sebab saya tak nak cakap tak boleh buat kepada pengarah. Saya berusaha melawan masalah klaustrofobia itu, tapi diuji pula dengan tersekat dalam selut hingga tak boleh gerak.

“Sudahlah berada dalam terowong gelap dan sempit. Kemudian, tangki oksigen saya pula berbunyi sebab dah nak habis. Ia buat saya rasa macam dah nak mati dalam masa 10 minit melalui insiden cemas sebegitu,” katanya.

Julia berkata, dia bersyukur ramai yang datang membantu dan akhirnya masalah klaustrofobia dialami dapat dirawatnya dengan cara sendiri kerana ada ilmu pendidikan psikologi.

“Sejak tahu saya ada semula masalah klaustrofobia itu, memang saya berusaha rawat diri sendiri dengan kaedah ‘exposure therapy’ yang saya belajar dalam bidang psikologi. Alhamdulillah, mujur saya ada ilmu itu.

“Jadi, saya tahu trauma ini sebenarnya berpunca daripada cara pemikiran minda kita sendiri. Kalau kita sendiri ada rasa takut yang melampau, pasti semua jadi kelam-kabut dan tak dapat atasinya dengan cara betul,” katanya.

Menurut pelakon dari Sabah ini, dia bagaimanapun enggan berdiam diri dengan masalah itu dan kini dalam proses mengatasi fobia berkenaan agar tidak mengganggu urusan karier lakonannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top